Pak Long Mail jadi mangsa

PAK Long Mail juga jadi mangsa berita palsu. Begitulah pendedahan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob semasa sidang media harian hari ini. Berita palsu itu berkaitan kononnya, beliau dikatakan mengeluarkan kenyataan bahawa rakyat Singapura tidak dialu-alukan ke Malaysia.

Berita palsu itu antara lain berkata, warga Singapura tidak perlu ke Malaysia jika sekadar mahu mengisi petrol, mencuci kereta atau makan malam.

Sambil menyifatkan laporan itu sebagai berita jahat dan tindakan jahat, Ismail Sabri menjelaskan hakikat sebenarnya, Malaysia belum membuka pintu negara kepada mana-mana warga asing termasuk dari Singapura untuk memasuki negara ini.

Katanya, tindakan seumpama itu yang turut ‘menggunakan suara’ beliau boleh mengeruhkan hubungan dengan Singapura yang merupakan negara jiran dan sahabat Malaysia.

Ismail Sabri telah membuat laporan polis dan juga kepada SKMM untuk mengambil tindakan terhadap penyebaran berita palsu itu.

Beliau memberitahu, sehingga 13 Jun 2020, sebanyak 266 kertas siasatan telah dibuka oleh PDRM dan SKMM berhubung berita palsu Covid-19

Daripada jumlah itu, 179 masih dalam siasatan, 30 kes telah didakwa di mahkamah, 11 diberikan notis amaran dan 18 telah mengaku bersalah. Masih tiada pertambahan kertas siasatan baharu yang dibuka oleh PDRM dan SKMM dalam tempoh dua minggu lepas.

Katanya, sebanyak 332 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu telah diperjelaskan oleh Pasukan Respon Pantas KKMM yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu  Covid-19.

Related posts

Leave a Comment