IBADAH haji tahun ini ‘dibatalkan’ ? Jawapan kepada persoalan ini dijangka diketahui dalam tempoh seminggu ini. Setakat ini, timbul pelbagai persoalan sama ada ibadah haji kali ini secara ‘tertutup’ iaitu tidak terbuka untuk jemaah dari luar Makkah berikutan penularan wabak Covid-19.
Media yang memetik laporan Financial Times menyebut, pegawai kanan Kementerian Haji dan Umrah memaklumkan pembatalan ibadah itu sedang dipertimbangjan setelah Arab Saudi mencatatkan lebih 100,000 kes jangkitan.
Jika pembatalan itu berlaku, ia dikatakan kali pertama sejak kerajaan Arab Saudi ditubuhkan pada 1932.
Menurut laporan, status ibadah itu yang merupakan perhimpunan terbesar umat Islam seluruh dunia yang dijadualkan bermula Julai ini sedang dikaji dengan teliti serta mengambil kira beberapa senario yang ada sebelum keputusan muktamad dibuat.
Adalah mustahil dengan prosedur yang ketat bagi mengawal penularan wabak itu, kerajaan Arab Saudi akan membenarkan ibadah haji berjalan seperti biasa kerana sekurang-kurangnya ia melibatkan kehadiran kira-kira dua juta orang.
Begitu juga jika cadangan 20 peratus daripada kuota setiap negara diberi peluang menunaikan haji. Ada juga cadangan supaya ibadah itu hanya membenarkan bilangan tertentu jemaah sebagai simbolik pelaksanaan ibadah itu tetap diteruskan.
Setakat ini, beberapa negara telah memaklumkan tidak akan menghantar jemaah mereka pada musimmhaji ini.
Negara itu termasuklah Indonesia, Brunei, Afrika Selatan, India, Malaysia, Perancis , Singapura, Australia dan New Zealand