43 kes baharu 1 kematian

PUTRAJAYA : Sebanyak 15 kes Covid-19 dalam kalangan rakyat negara ini melibatkan tujuh negeri adalah antara 38 kes penularan tempatan yang dilapor hari ini. Ia melibatkan satu kes di Kuala Lumpur; empat di Selangor; lima di Negeri Sembilan; dua di Melaka; dan masing-masing satu di Pahang, Perak dan Sabah.

Ketua Pengarah Kasihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata tujuh daripada 15 kes itu adalah hasil saringan yang dilakukan di pusat-pusat tahfiz.

Secara keseluruhan sebanyak 43 kes dilapor hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 8,445 kes.

Daripada 43 kes baharu yang dilapor, lima adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan empat warga Malaysia dan satu kes bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap.

Daripada 38 kes penularan di dalam negara, 23 kes adalah bukan warganegara manakala 15 kes adalah dalam kalangan warga Malaysia.

Dr Noor Hisham berkata terdapat satu kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan di Sabah, iaitu melibatkan satu daripada 15 kes penularan dalam negara, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 120 kes.

“Kes kematian ke-120 (kes ke-8,403) merupakan wanita warga Malaysia berumur 96 tahun. Beliau meninggal dunia pada 12 Jun di rumah beliau dan jenazah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah.

“Saringan ujian Covid-19 didapati positif. Punca jangkitan bagi kes ini masih dalam siasatan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 143 kes dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah sebanyak 7,311 kes.

Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 1,014 kes.

Mengulas kes jangkitan dalam negara melibatkan bukan warganegara pula, Dr Noor Hisham berkata 21 kes dikesan dalam kalangan penghuni Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan mereka dipindahkan ke Akademi Imigresen Malaysia (AIM) di Port Dickson, Negeri Sembilan

Satu kes saringan di Pasar Pemborong Sayur oleh Pejabat Kesihatan Penampang, Sabah dan satu kes saringan pekerja ladang warga asing di Temerloh, Pahang.

Related posts

Leave a Comment