ADUN Sementa keluar PKR

SIRI wakil rakyat keluar parti belum berakhir. Hari ini, 13 Jun, Timbalan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Daroyah Alwi mengumumkan keluar dari parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa itu berkata, keputusan itu dibuat selepas hilang keyakinan terhadap pimpinan parti yang diketuai Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, pada 5 Jun lalu, Ahli Parlimen Lubok Antu, Tambat @Jugah anak Muyang mengumumkan keluar PKR disebabkan masalah dalaman Pakatan Harapan dan kejatuhan kerajaan gabungan itu.

Ia menyusul keputusan ADUN Lunas, Azman Nasrudin serta ADUN Sidam, Robert Ling yang meninggalkan PKR pada 12 Mei lalu menyebabkan kerajaan Kedah PH pimpinan Mukhriz Mahathir tumbang.

Bekas Ketua PKR Sarawak, Baru Bian juga meninggalkan parti itu Februari lalu.

Dr. Daroyah dalam satu sidang media di sebuah hotel di Shah Alam, berkata, Presiden parti dan ‘pentaksubnya’ telah gagal menjalankan amanah majoriti ahli parti yang memilih mereka.

Katanya, siri terancang pemecatan dan penggantungan anggota terutamanya melibatkan rakan seperjuangan yang telah lama memperkasakan parti dan organisasi dari awal penubuhan Parti Keadilan Nasional (1999) dan seterusnya PKR nyata telah meruntuhkan pemuafakatan yang selama ini dibina.

“Saya tidak mahu lagi terlibat atau dikaitkan dengan kancah perebutan kuasa politik mahupun dalam pembuangan anggota beramai-ramai. Tidak seperti dahulu, perjuangan Keadilan sekarang bukan lagi untuk agenda reformasi, tetapi untuk mendapatkan kuasa semata-mata,” katanya lagi.

Dr Daroyah berkata, keputusan itu tidak bersendirian, tetapi turut disertai 13 lagi pimpinan Wanita Keadilan Selangor.

“Pimpinan Wanita Selangor yang bersama saya petang ini terdiri daripada Ahli-ahli Majlis Pimpinan Keadilan Selangor, Ketua-ketua Wanita Cabang, Ahli-ahli Majlis Berkuasa Tempatan, serta pelbagai pimpinan akar umbi.

“Kami berasa amat terkesan apabila rakan-rakan pimpinan dan seperjuangan di segenap lapisan yang selama 21 tahun ini jerih-perih berjuang bersama dengan keringat dan air mata demi mengangkat idealisma Keadilan, sewenang-wenangnya dikenakan tindakan hanya kerana perbezaan pendapat,” katanya lagi.

Related posts

Leave a Comment