Pinda ADB 1952 hadapi pengedaran dadah online

SEPANG 14 Sept.  – Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang digubal lebih 70 tahun lalu perlu dipinda bagi menghadapi cara baharu pengedaran bahan itu khususnya secara dalam talian.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Lee Lam Thye berkata, ADB 1952 tidak mencukupi untuk berdepan pengedaran dadah secara online yang semakin membimbangkan,

Katanya, sindiket dadah hari ini tidak lagi bergantung kepada kaedah tradisional, sebaliknya memanipulasi kemajuan teknologi sedia ada untuk mengelak daripada dikesan.

Menurut Lam Thye, banyak kumpulan jenayah hari ini menggunakan platform dalam talian, aplikasi yang disulitkan atau encrypted dan media sosial untuk mempromosi serta menjual dadah berbahaya, khususnya kepada golongan belia.

“Undang-undang baharu perlu memberi kuasa lebih mantap kepada agensi penguat kuasa untuk mengesan, memintas dan melumpuhkan rangkaian jenayah ini.

“Ia bagi melindungi golongan muda kerana jualan dadah secara dalam talian sering sampai kepada remaja dan belia yang mudah terpengaruh serta kurang kesedaran.

Jadi langkah undang-undang yang lebih tegas akan melindungi generasi muda daripada menjadi mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lam Thye berkata, pindaan akta itu juga untuk menutup kelompongan perundangan disebabkan undang-undang sedia ada kurang berkesan ndac isu seperti permintaan dadah secara dalam talian, transaksi disulitkan serta perkhidmatan penghantaran yang digunakan oleh pengedar.

“Dengan peruntukan lebih jelas serta tafsiran lebih luas mengenai pengedaran, agensi penguat kuasa dan pendakwa raya akan lebih bersedia untuk mendapatkan sabitan terhadap pesalah,” katanya.

Tambahnya, pembuat dasar perlu bertindak tegas meminda ADB 1952 agar Malaysia benar-benar bersedia memerangi pengedaran dadah secara dalam talian.

“Penyalahgunaan dan pengedaran dadah kekal sebagai salah satu ancaman paling serius terhadap keselamatan negara, kesihatan awam serta kesejahteraan keluarga. Ia merosakkan kehidupan, meningkatkan kadar jenayah dan melemahkan struktur masyarakat.

“Malah keselamatan rakyat terutama golongan muda, mesti sentiasa menjadi keutamaan negara,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment