YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara hari ini, 10 Jun.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata sesi berkenaan yang berlangsung selama satu jam 15 minit dari pukul 8.30 pagi, diadakan secara bersemuka susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan mulai hari ini.
Sesi pra-Kabinet dengan Agong itu merupakan yang paling lama berlangsung berbanding sesi-sesi sebelum ini.
Menurut beliau, kali pertama mesyuarat bersemuka sedemikian diadakan adalah pada 18 Mac lepas di Istana Melawati, Putrajaya.
Ia kemudian diteruskan menerusi sidang video untuk sesi berikutnya pada 15 April lepas selepas Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta keluarga menjalani kuarantin diri selama 14 hari berikutan beberapa kes positif Covid-19 melibatkan para pegawai Istana Negara.
“Sesi-sesi berikutnya turut berlangsung menerusi sidang video berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan sesi kali terakhir menerusi sidang video diadakan minggu lepas, pada 4 Jun 2020,” katanya dalam satu kenyataan.