Kerjasama Pas, BN,PPBM

PAS menegaskan bahawa kerjasama politik bersama Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semakin mantap dan bersedia memacu tenaga dan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan berkata, kerjasama itu juga sekaligus berjaya memperkukuhkan lagi kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menjadi ‘kerajaan hari ini (government of the day).

“Pas akan terus komited mendukung dan mempertahankan kedudukan Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Mohd Yasin bersama barisan Kabinet yang terdiri dari semua parti anggota,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, tanpa mempedulikan pelbagai spekulasi, adalah jelas kerjasama politik antara Pas dengan BN, khususnya UMNO, telah dimuktamadkan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman pada 14 September 2019 sekaligus membentuk Muafakat Nasional (MN).

“Manakala kerjasama sehingga terbentuknya Kerajaan Persekutuan ekoran kejatuhan Pakatan Harapan (PH) pada 29 Februari 2020, diikuti pemeteraian Memorandum Persefahaman oleh Pengerusi-Pengerusi dan Presiden-Presiden BN, PPBM, Pas dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak secara rasminya telah membentuk PN,” katanya.

Beliau juga menegaskan Pas yakin parti-parti yang membentuk PN telah bersedia untuk memacu tenaga dan jentera bagi melengkapkan persiapan dan kesiapsiagaan barisan bersama termasuk memuktamadkan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU 15 meskipun tarikhnya belum diputuskan.

“Pas juga amat yakin kerjasama dan sikap bertoleransi semua anggota PN kini akan menguatkan lagi kedudukan Kerajaan PN sama ada di peringkat Persekutuan mahupun Negeri-Negeri sehingga ke akhir penggal,” katanya.

Related posts

Leave a Comment