SEORANG penyelia tapak binaan dihukum penjara dua bulan dan denda RM5,000 di Mahkamah Majistret Sibu pada Khamis, 4 Jun kerana melanggar syarat 14 hari kuarantin.
Majistret Muhammad Faizal Che Saad membuat keputusan itu selepas Jeffery Jambo Dana, 27, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, memperuntukkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM5,000, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pada 25 Mei lalu sekitar pukul 9 pagi, Jeffery telah memuat naik gambarnya sedang makan di sebuah kedai kopi di Sibujaya dalam akaun Facebooknya.
Ketika itu dia masih lagi dalam tempoh arahan kuarantin 14 hari di rumahnya selepas kembali dari Kuala Lumpur.
Berdasarkan perbualan bersama rakannya dalam ruang komen di Facebook, dia mengaku sudah membuka gelang tangan khas untuk mengelak ditangkap.
Tindakan itu melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian bagi Kontak Jangkitan Koronavirus 2019 (Covid-19) di bawah Seksyen 15 (1) Pencegahan dan Pengawalan Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.