WHO harap terus kerjasama AS

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) berharap dapat meneruskan kerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) walaupun Presiden Donald Trump pada Jumaat memutuskan hubungan dengan agensi kesihatan dunia itu.

Ketua Pengarahnya, Dr Tedros Adhanom Grebeyesus berkata sumbangan AS terhadap kesihatan global selama beberapa dekad sangat besar dan kerjasama kukuh itu telah memberi impak dan manfaat kepada kesihatan awam dunia.

“Dunia telah lama mendapat manfaat daripada kerjasama kolaborasi yang kuat dengan pemerintah dan rakyat Amerika Syarikat. Sumbangan dan kemurahan AS terhadap kesihatan global selama beberapa dekad sangat besar.

“Harapan WHO agar kerjasama ini dapat diteruskan,” katanya dalam sidang akhbar berkaitan Covid-19 di Geneva.

Sejak wabak ini melanda, AS sering kali mendakwa WHO gagal bertindak dengan baik. Jumaat lalu, Trump sekali lagi mendakwa WHO gagal untuk menangani jangkitan Covid-19 dengan baik serta mendakwa China mempunyai pengaruh kuat ke atas pertubuhan itu.

Trump turut menuduh pegawai China gagal melaporkan mengenai jangkitan awal virus itu kepada WHO dan pertubuhan itu juga membuat laporan yang salah virus itu pertama kali dikesan.

AS merupakan penyumbang dana terbesar kepada WHO dengan AS$400 juta, berbanding China hanya AS$40 juta setahun.

Sementara itu, WHO mengesahkan penularan wabak ebola kedua di Congo sekali gus menambah satu lagi krisis kesihatan bagi negara yang sedang menghadapi Covid-19 dan wabak campak terbesar di dunia itu.

Dr. Tedros berkata, pemerintah republik demokratik Congo (DRC) mengumumkan bahawa penularan baharu virus ebola telah dikesan dekat Kota Mbandaka di wilayah Equateur.

“Pengumuman itu disusuli wabak ebola yang kompleks di timur DRC yang dilihat seperti fasa terakhir. Terbaharu di bahagian lain di DRC, barat DRC. WHO akan terus menyokong DRC menangani ebola dan Covid-19 serta wabak campak,” katanya.

Dr Tedros juga berkata, Congo belum mengisytiharkan secara rasmi wabak ebola telah tamat di timur negaranya di mana lebih 2,000 telah meninggal dunia sejak Ogos 2018.

Ujarnya, kes ebola baharu juga dikesan di utara Mbandaka di wilayah Equateur di mana pihak berkuasa kesihatan Congo telah mengenal pasti enam kes di lokasi itu.

Related posts

Leave a Comment