GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sekali lagi memberi amaran terhadap negara yang sedang mengalami pengurangan jangkitan koronavirus Covid-19 boleh mengalami “puncak jangkitan kedua” jika mereka melonggarkan terlalu awal sekatan yang bertujuan membendung penularan pandemik itu.
Pengarah Eksekutif (Program Kecemasan) WHO, Dr. Mike Ryan berkata, walaupun bilangan kes di banyak negara kian berkurangan, jumlah jangkitan sedang meningkat di Amerika Tengah dan Amerika Selatan, Asia Selatan dan Afrika.
Dalam taklimat media secara dalam talian di Geneva kelmarin, Dr Ryan berkata epidemik biasanya melanda mengikut gelombang dan ini bermakna pandemik Covid-19 boleh berulang tahun ini, di tempat yang ia disangka telah berkurangan.
Ada juga kemungkinan kadar jangkitan meningkat dengan lebih pantas, jika sekatan yang bertujuan mengekang penularan Covid-19 dilonggarkan terlalu cepat.
“Apabila kita bercakap mengenai gelombang kedua, ini bermakna gelombang pertama boleh disusuli gelombang kedua beberapa bulan selepas gelombang pertama melanda. Dan ini boleh menjadi satu realiti bagi banyak negara dalam beberapa bulan,” kata Dr Ryan.
“Namun, kita juga perlu sedar bahawa penyakit ini boleh merebak secara mendadak pada bila-bila masa. Kita tidak boleh membuat andaian hanya kerana penyakit ini sedang berkurangan sekarang, ia akan terus berkurangan dan kita mempunyai beberapa bulan untuk bersedia bagi menghadapi gelombang kedua.
“Kita mungkin menghadapi puncak jangkitan kedua dalam gelombang sekarang. Ini yang berlaku dalam pandemik sebelum ini. Ia berlaku dalam pandemik pada tahun 1919 (The Spanish Flu).,” katanya pada Isnin.
Beliau berkata negara di Eropah dan Amerika Utara harus “terus melaksana langkah kesihatan dan sosial awam, langkah pemantauan, langkah ujian dan strategi menyeluruh untuk memastikan bilangan kes Covid-19 terus berkurangan dan kita tidak menghadapi puncak kedua serta-merta”.
Banyak negara Eropah dan negeri Amerika Syarikat telah mengambil langkah sepanjang minggu-minggu kebelakangan untuk melonggar sekatan yang bertujuan membendung Covid-19 tetapi menjejas teruk ekonomi.
“… kita juga perlu sedar bahawa penyakit ini boleh merebak secara mendadak bila-bila masa. Kita tidak boleh membuat andaian hanya kerana penyakit ini sedang berkurangan sekarang, ia akan terus berkurangan dan kita mempunyai beberapa bulan untuk bersedia bagi menghadapi gelombang kedua.
Kita mungkin menghadapi puncak jangkitan kedua dalam gelombang sekarang.”
– Dr Mike Ryan, Ketua jabatan kecemasan WHO.