Jangan remeh kompaun PKPB

PELBAGAI kesalahan dikompaun gara-gara melanggar peraturan yang ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Ternyata amaran pihak kerajaan bukan sekadar omong kosong.

Di ALOR SETAR, seramai 23 individu masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 selepas didapati berhimpun pada satu majlis jamuan Aidilfitri di sebuah rumah di Simpang Setia Jaya Guar Chempedak, Gurun malam tadi (26 Mei).

Ketua Polis Daerah Yan, DSP Shahnaz Akhtar Haji berkata tindakan dikenakan selepas mereka melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Sepasukan anggota polis yang melakukan rondaan penguatkuasaan PKPB di sekitar daerah ini telah menerima maklumat mengenai penganjuran majlis itu pada pukul 8.30 malam sebelum bergegas ke lokasi dan mendapati seramai 23 individu termasuk tuan rumah berhimpun di rumah tersebut.

Di KUALA BERANG, gara-gara bermain futsal, lapan lelaki termasuk lima remaja berusia 15 hingga 16 tahun dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang.

Sebelum itu, mereka melarikan diri apabila sedar kehadiran pihak polis sehingga sanggup meninggalkan motosikal serta barang-barang peribadi termasuk telefon bimbit.

Kira-kira pukul 1 pagi 27 Mei , lapan lelaki terbabit tampil ke balai polis untuk menyerah diri dan masing-masing kemudian dikenakan kompaun sebanyak RM1,000.

Di KUALA LUMPUR , seorang pemilik rumah di Taman Selayang Mutiara, Batu Caves dikompaun kerana terdapat ramai orang di rumahnya untuk ziarah Raya pada hari raya kedua.

Lelaki berusia 35 tahun itu berkata dia tidak mengetahui kebenaran untuk tidak lebih daripada 20 orang mengunjungi sesebuah rumah untuk menyambut Hari Raya, hanya tertakluk pada raya pertama.

“Saya ingatkan boleh pada raya kedua, ikutkan saya memang sudah hadkan tidak lebih daripada 20 orang dalam rumah saya tadi termasuk ahli keluarga,” katanya.

Di MELAKA, seramai 38 individu termasuk tiga bayi dan enam kanak-kanak ditahan kerana berhimpun untuk mengambil gambar pemandangan bunga teratai di kawasan kolam tadahan banjir di Taman Semabok Perdana dalam Ops Covid-19 dan Cegah Jenayah Hari Raya Aidilfitri 2020, 26 Mei..

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata dalam operasi kira-kira 12 tengah hari, mereka yang ditahan terdiri daripada tiga bayi, enam kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah, 18 tahun ke bawah (dua orang), 19 tahun hingga 55 tahun (20 orang) dan 55 tahun ke atas (tujuh orang).

Daripada jumlah yang ditahan itu, 20 individu dewasa dikompaun RM1,000 setiap seorang.

Di KEPALA BATAS, enam individu di Kampung Padang Benggali, Penaga, dikompaun RM1,000 setiap seorang atas kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 26 Mei.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata kompaun dikenakan atas kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran dan mengadakan aktiviti ziarah pada hari ketiga sambutan Aidilfitri.

Related posts

Leave a Comment