Semakan daftar pemilih baharu Nov.

PUTRAJAYA 25 Dis. – Sebanyak 39,546 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu dalam tempoh 1 hingga 31 November lalu.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ikmalrudin Ishak berkata, Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan November Tahun 2024 (DPT BLN11/2024) boleh dibuat untuk tempoh 30 hari bermula 20 Disember lalu hingga 18 Januari 2025.

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, beliau berkata, daftar itu juga mengandungi 10,388 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 1,804 pemilih bertukar status atau kategori pengundi.

Untuk rekod, dalam tempoh 1 hingga 31 Oktober 2024 sebanyak 43,196 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas didaftarkan.

SPR menyediakan lima kaedah semakan iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.myatau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my.

Kaedah lain termasuk aplikasi mudah alih MySPR Semak dan talian Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-8892 7218.

Selain itu Ikmalrudin berkata sekiranya pemilih mendapati nama mereka tidak disenaraikan dalam DPT BLN10/2024, tuntutan boleh dibuat dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan raya, perlu mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan perlu dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN10/2024.

Related posts

Leave a Comment