PUTRAJAYA : Sebanyak 187 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, dengan sebahagian besarnya membabitkan individu bukan warganegara, kata
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.
Daripada jumlah tersebut, 10 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan tujuh warganegara Malaysia dan tiga pemastautin tetap atau pasangan kepada warganegara Malaysia, manakala 177 kes, penularan tempatan.
Sebanyak 173 daripada 177 kes penularan tempatan, adalah bukan warganegara di mana 155 kes dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, dan 13 kes daripada Kluster Pengawal Keselamatan Cheras.
Kes penularan tempatan dalam kalangan warganegara Malaysia adalah empat kes.
Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah 7,604 kes, dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 1,448 kes.
“Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan. Sehingga kini, seramai lapan kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, lima kes memerlukan bantuan pernafasan.
Tiada kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan dengan jumlah kumulatif kes kematian kekal 115 atau 1.51 peratus, daripada jumlah keseluruhan kes.
Terdapat 62 kes pulih hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang pulih sepenuhnya daripada wabak itu dan discaj dari wad ialah 6,041 kes atau 79.4 peratus, daripada jumlah keseluruhan kes.