Tiada kes baharu di Thailand

KES kematian di INDONESIA meningkat kepada 1,372 apabila  21 lagi kematian akibat Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu, kata jurucakap kerajaan Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto.

Katanya, jumlah kes positif pula meningkat kepada 22,271 kes iaitu tambahan 526 kes baharu.

Ketika ini seramai 11,389 pesakit masih dalam pemantauan.

Sementara itu, umat Islam di Indonesia  meraikan sambutan Aidilfitri dalam suasana luar biasa bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 dengan solat sunat Aidilfitri di masjid dilarang, tiada majlis rumah terbuka, balik kampung atau aktiviti saling berkunjung.

Di SINGAPURA, Kementerian Kesihatan mengesahkan 548 kes Covid-19 setakat tengah hari ini, Ahad 24 Mei menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan wabak itu sebanyak 31,616.

Pesakit yang pulih setakat Sabtu adalah seramai 13,882 orang.

Hanya tiga pesakit adalah warga Singapura atau penduduk tetap manakala majoriti terdiri daripada pekerja asing di asrama.

Setakat Sabtu, sebanyak 711 kes disahkan sedang dirawat di hospital dengan lapan berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi manakala 23 telah meninggal dunia.

Jabatan Kesihatan FILIPINA pula mengesahkan 258 kes baharu menjadikan jumlah kes 14,035 sementara kes pulih meningkat kepada 3,249 setelah 72 kes lagi sembuh.

Sebanyak lima kematian dilaporkan menjadikan 868 kes sementara kes aktif pula 9,918.

Di BRUNEI DARUSSALAM, jumlah kes kekal 141 apabila tiada kes baharu dilaporkan tetapi kes sembuh meningkat kepada 137 setelah satu kes pulih.

Menurut Kementerian Kesihatan, kes aktif adalah tiga yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, dua daripadanya kritikal.

Sementara itu, sebanyak 201,949 orang telah mendaftar untuk aplikasi Bruhealth App dan 3,346 syarikat atau premis juga berbuat demikian.

THAILAND pula bebas kes hari ini, (24 Mei) apabila tiada kes baharu positif dan kematian berkaitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas dengan angka kumulatif kekal pada 3,040 kes positif dan 56 kematian.

Ini adalah kali keempat bulan ini tiada kes baharu harian direkodkan Thailand.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 Dr Panprapa Yongtrakul berkata setakat ini 63 kes masih dirawat di hospital dengan jumlah keseluruhan pesakit yang pulih dan dibenarkan pulang ialah seramai 2,921 orang. 

Related posts

Leave a Comment