50 kes baharu

PUTRAJAYA : Sebanyak 50 kes baharu positif Covid-19 direkodkan pada Khamis, 21 Mei menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 7,059 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Daripada 50 kes baharu itu, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala 47 kes adalah penularan.

“Bagi 47 kes penularan tempatan itu, 41 kes melibatkan bukan warga Malaysia dengan 34 kes dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Mereka ini telah berada dalam tahanan sejak sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas,” katanya dalam sidang media harian mengenai perkembangan Covid-19.

Sementara itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 1,149 kes,

dan 90 kes pulih menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya sebanyak 5,796 kes (82.1 peratus).

Tiada kes kematian direkodkan menjadikan kumulatif kes kematian kekal sebanyak 114 kes atau 1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sehingga kini, terdapat 10 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, tujuh kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, beliau sekali lagi menasihatkan orang ramai supaya mengambil tanggungjawab sosial  dalam memerangi wabak Covid-19 di Malaysia dengan kekal patuh kepada S.O.P. yang digariskan Kementerian Kesihatan (KKM).

“S ialah syarat seperti ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat manakala O (orang yang berisiko tinggi yang perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera melakukan pemeriksaan kesihatan) serta P (penjarakan sosial),” katanya.

Beliau berkata orang ramai juga diingatkan supaya mengelakkan 3S / 3C iaitu kawasan yang sesak, sempit dan elakkan bersembang atau bertutur dengan jarak yang dekat.

Tambahnya, masyarakat juga dinasihatkan mengamalkan 3W (basuh tangan, memakai penutup hidung dan mulut di tempat awam jika bergejala dan mematuhi amaran KKM yang berkonsep peringatan.

Related posts

Leave a Comment