Tiada lagi rentas negeri

PUTRAJAYA: Rentas negeri tidak dibenarkan sama sekali. Itu keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) setelah dua tiga hari ini semakin ramai yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung.

Individu yang masih berdegil dengan cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri bukan sahaja akan diarah berpatah balik, malah dikompaun serta-merta.

Keputusan itu diumum Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob hasil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Polis tidak akan benarkan. Kita tidak membuka ruang rentas negeri lagi. ‘No more’.

Kedua, sampai hari ini, apabila setiap hari sekatan jalan raya, ribuan kenderaan hendak balik kampung telah diarahkan supaya patah balik.

“Mulai hari ini, kita telah setuju supaya mereka bukan sahaja diarah patah balik, tetapi dikompaun di tempat sekatan jalan raya tersebut,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat tersebut di sini pada Khamis.

Menurut Ismail, pada Rabu sejumlah 271,646 kenderaan telah diperiksa oleh pihak berkuasa.

Daripada jumlah itu, 2,412 kenderaan telah cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung dan telah diarah patah balik.

Sementara itu, Ismail Sabri menambah orang ramai masih boleh merentas daerah dalam sesebuah negeri bagi menyambut akhir Ramadan dan Aidilftiri.

Namun mereka masih tertakluk kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh MKN.

“Kalau dalam negeri yang sama mereka masih boleh rentas daerah.

“Namun, garis panduan seperti had jumlah satu rumah masih perlu dipatuhi oleh mereka,” tegasnya.

Related posts

Leave a Comment