PSBB Jakarta dilanjutkan

SINGAPURA merekodkan 570 lagi kes positif Covid-19 menjadikan 29,364 kes ketika republik itu turut mencatatkan 10,365 pesakit pulih.

Data Kementerian Kesihatan (MOH) menunjukkan hanya dua kes melibatkan rakyat Singapura atau penduduk tetap manakala kebanyakan kes melibatkan pekerja asing yang ditempatkan di asrama.

Menurut MOH, 17,403 orang yang mempunyai simptom ringan atau secara klinikal baik tetapi ujiannya masih positif Covid-19, telah diasingkan dan dijaga di fasiliti komuniti. 

Sehingga kini, 22 orang meninggal dunia akibat Covid-19.

Sementara itu, THAILAND mengekalkan kes baharu dalam satu digit dan tiada kematian baharu dalam tempoh 24 jam lepas.

Hanya satu kes dilaporkan iaitu cef warga Thai berusia 45 tahun yang baru kembali dari Bahrain. Kes baharu itu menjadikan kes kumulatif positif Covid-19 di Thailand sebanyak 3,034 kes dengan kematian kekal 56.

Jumlah pesakit yang masih dirawat di hospital ialah 90 orang.

Kes positif Covid-19 di INDONESIA meningkat kepada 19,189 dengan kematian pula berjumlah 1,242 orang dalam tempoh 24 jam.

Menurut jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto, sebanyak 693 lagi kes positif baharu dilaporkan dengan 21 kematian.

Provinsi Jakarta masih mencatatkan kematian tertinggi iaitu 472 kes, diikuti Jawa Timur (228 kes), Jawa Barat (124) dan selebihnya di wilayah lain di Indonesia.

Sementara itu, Gabenor Jakarta, Anies Baswedan dalam satu kenyataan mengumumkan pelaksanaan pembatasan sosial berskala besar (PSBB) di provinsi Jakarta dilanjutkan sehingga 4 Jun depan.

PSBB yang mula dilaksanakan 15 Mac lepas sepatutnya berakhir 22 Mei ini.

Di FILIPINA, Jabatan Kesihatan mengesahkan 279 kes baharu menjadikan kes keseluruhan sebanyak 13,221.  Lima kematian dilaporkan menjadikan 842.

Sementara itu, 89 pesakit pulih menjadikan jumlah sembuh 2,932 sementara kes aktif 9,447.

Sementara itu, BRUNEI DARUSSALAM terus kekal dengan  141 kes apabila tiada kes baharu dilaporkan. Kementerian Kesihatan dalam kenyataan memberitahu setakat ini empat masih dirawat, dua dalam keadaan kritikal manakala 136 sembuh.

Related posts

Leave a Comment