Terima kasih barisan hadapan

SUMBANGAN barisan hadapan negara dalam memerangi wabak Covid-19 mendapat pengiktirafan negara oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan semua Ahli Parlimen serta Senator.

Seri Paduka ketika bertitah mengajak semua yang menghadiri Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat, bangun berdiri dan memberi tepukan gemuruh, sebagai simbolik penghargaan.

Menurut Seri Paduka, dalam saat getir yang dihadapi ini, petugas barisan hadapan negara terutamanya yang berada dalam perkhidmatan kesihatan; tentera, polis, bomba, imigresen, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan lain-lain agensi terlibat  telah tampil dengan penuh dedikasi.

“Pengorbanan mereka tidak pernah mengenal erti penat mahupun takut hinggakan nyawa dan keselamatan diri sendiri menjadi taruhan demi menjaga kemaslahatan dan kepentingan orang ramai.

“Justeru, sebagai tanda penghargaan negara; marilah bersama-sama dengan Beta untuk berdiri dan memberikan tepukan yang gemuruh kepada semua wira dan wirawati petugas barisan hadapan negara,” titah Al-Sultan Abdullah.

Seri Paduka bertitah, Malaysia ketika ini masih lagi dalam usaha memerangi penularan wabak Covid-19 yang mula dikesan menjangkiti rakyat Malaysia pada awal Februari lepas.

“Kepada rakyat jelata sekalian, teruskan menjaga kesihatan diri dan keluarga serta persekitaran setempat. Hindari daripada berhimpun secara ramai dan teruskan mengamalkan penjarakan sosial.

“Mudah-mudahan Malaysia akan berjaya menangani pandemik COVID-19 ini dengan jayanya,” titah Al-Sultan Abdullah.

Related posts

Leave a Comment