ASSALAMUALAIKUM cikgu! Selamat pagi cikgu! Selak-Selak mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua yang bertanggungjawab mendidik sama ada bergelar Guru, Cikgu, Teachers, Ustaz, Ustazah, Murabbi atau apa sahaja yang mendidik di seluruh negara. Terima kasih terutama guru-guru yang pernah mengajar saya.
Juga kepada sanak saudara dan rakan-rakan sekolah yang kita pernah bersama berguru, sama-sama dirotan, didenda berdiri atas kerusi meja, didenda keliling padang dan macam-macam lagi yang jika dilakukan sekarang mungkin akan diheret ke mahkamah. Tahniah kepada sahabat semasa di Sekolah Kebangsaan Guar Perahu dan Sekolah Menengah Kubang Semang yang menjadi cikgu. Maaf tidak dapat disenaraikan nama saudara saudari di sini, bimbang tercicir.
Mungkin ramai yang sudah tahu kenapa 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru tetapi sebagai peringatan eloklah diselak semula secara ringkas. Tarikh ini pada tahun 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu telah meluluskan Penyata Razak, salah satu daripada empat Laporan Jawatankuasa Pelajaran mengenai pendidikan di negara kita. Dokumen ini dikenali sebagai Laporan Razak kerana ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein adalah Menteri Pelajaran. Dokumen ini juga dijadikan Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak tahun 1956 dan kekal sehingga ke hari ini.
Tema sambutan tahun ini BERGURU DEMI ILMU, BINA GENERASI BAHARU. Untuk menjadi orang berilmu kenalah berguru. Orang yang berilmu pun akan berguru mencari yang lebih berilmu. Ringkasnya ilmu perlu diperoleh daripada seseorang yang mempunyai kepakaran atau kemahiran yang autentik serta berasaskan sumber yang betul, sahih dan berwibawa. Tidak ada manusia yang mencapai kejayaan di dunia ini tanpa kehadiran insan bergelar guru. Malahan guru juga “dilahirkan” oleh guru. Guru juga insan yang banyak membentuk karektar dan keperibadian seseorang.
Berguru tanpa mengira bidang adalah proses pembelajaran berterusan yang tiada penghujung selagi ada kehidupan. Seseorang yang berniat mendapatkan ilmu akan sentiasa berusaha meningkatkan kefahaman terhadap ilmu dalam bidang masing-masing sambil meneroka bidang ilmu baharu.Akhirnya kita dapat melahirkan lebih ramai ilmuwan yang mampu mencipta dan menghasilkan produk serta perkhidmatan yang memberi impak tinggi kepada masyarakat dan negara.
(Foto bersama rakan sekolah dan seorang guru Bahasa Inggeris, Cikgu Zabedah semasa sekolah rendah)
(Dua tulisan Selak di Utusan Malaysia pada 2016 dan 2017 – boleh baca di ruangan ARCHIVES)