Jumlah kes terkini 6,656

PUTRAJAYA : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 67 kes Covid-19 baharu dikesan menjadikan jumlah kumulatif kes positif meningkat kepada 6,656 kes.

Tiada kematian dilaporkan dan jumlah kumulatif kes kematian kekal sebanyak 108 kes atau 1.62 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu, 49 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia.

“Sehingga hari ini juga, sebanyak 96 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 5,025 kes (75.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Seramai 18 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, enam kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu Dr. Noor Hisham berkata, KKM menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berhubung pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun 2020.

Menurut beliau, langkah itu bagi memberi ruang kepada kerajaan dalam memerangi penularan wabak sehingga ke tahap yang lebih terkawal sekali gus mengimbangi pembukaan sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati.

“Tahap keberkesanan tindakan ini akan dinilai dari semasa ke semasa.

“Pihak KKM juga akan menggiatkan lagi usaha mengurangkan kes positif Covid-19 di negara ini melalui pengesanan kes aktif dan pendekatan tertumpu iaitu pengesanan, penyaringan dan ujian ke atas kumpulan sasar yang berisiko tinggi.

“Tindakan ini dapat dijalankan dengan lebih berkesan melalui pelaksanaan PKPB dan juga Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” jelasnya lagi.

Related posts

Leave a Comment