Titah Tuanku mengenai Adib

MENYELAK kembali catatan lama terjumpa titah ucapan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada Majlis Penyampaian Tauliah Pelantikan Ahli Majlis Agama Islam dan Sijil Pelantikan Kehakiman Syarie Pulau Pinang dua tahun lalu. Baginda turut menyentuh mengenai Muhammad Adib: Wira Terbilang”.

Berikut antara intipati titah Tuanku untuk renungan dan peringatan bersama.

“MUHAMMAD ADIB: WIRA TERBILANG”

Muhammad Adib bin Mohd. Kassim, seorang anggota bomba dan penyelamat, yang memenuhi tugas negara, telah menjadi korban dalam peristiwa hitam yang berlaku di tapak kuil Seafield, Subang. Dilaporkan, Muhammad Adib, telah ditarik keluar daripada kenderaan, lalu diserang dan dipukul oleh para perusuh. Muhammad Adib mengalami cedera parah. Beta berpeluang berangkat menziarahi Muhammad Adib, di Institut Jantung Negara dan menzahirkan rasa dukacita dan simpati Beta kepada kedua-dua ibu bapa beliau, Mohd. Kassim Abdul Hamid dan Azma Aziz pada pagi Jumaat, 30 November, sambil mendoakan, bersama seluruh rakyat Malaysia, agar Muhammad Adib dapat diselamatkan. Meskipun para doktor menjalankan segala usaha yang terdaya, ALLAH jua yang Maha berkuasa, penentu kepada segala-galanya. Pada jam 9.41 malam, 17 Disember 2018, Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir, kembali menemui Penciptanya, ketika baru berusia 24 tahun.

17. Seluruh negara, tanpa mengira kaum dan pegangan agama, daripada rakyat biasa, pemimpin, termasuk istana, sama-sama berduka dengan nasib yang menimpa keluarga Muhammad Adib. Demi memastikan undang-undang didaulatkan, demi memastikan keadilan tidak tercicir, segala usaha hendaklah dilaksanakan, untuk mencari tangan-tangan yang bergelumang dosa, melakukan jenayah yang sungguh kejam, hingga mengakibatkan Muhammad Adib menemui ajal, dan kaum keluarga Muhammad Adib dilanda duka nestapa.

18. Demi menegakkan kebenaran, mereka yang menyaksikan kejadian yang berlaku, ada tanggungjawab agama, tanggungjawab moral, dan tanggungjawab undang-undang untuk tampil, membantu kerja-kerja siasatan Polis Diraja Malaysia. Jenayah sekejam ini, sama sekali tidak boleh dilindungi. Kepada ALLAH kita pohonkan, akan berlaku keadilan setimpal (poetic justice), memastikan pihak yang bersalah, dan dalang-dalang yang bertanggungjawab di sebalik peristiwa ini, tidak terlepas daripada dihukum kerana dosa yang telah dilakukan.

19. Pada pagi 18 Disember, jenazah Muhammad Adib, diterbangkan untuk diabadikan selama-lamanya di Kuala Kedah, empat hari sebelum tarikh yang ditetapkan, untuk beliau diijabkabulkan dengan Nurul Najihah Mohd. Rodzi. Negara dihujani gerimis hiba. Atas nama negara, Beta menzahirkan rasa dukacita serta ucapan takziah kepada Encik Mohd. Kassim Abdul Hamid, Puan Azma Aziz dan Cik Nurul Najihah, serta seluruh keluarga, atas pemergian Muhammad Adib secara tragik. Sesungguhnya MUHAMMAD ADIB IALAH SEORANG WIRA TERBILANG; BERANI, CEKAL LAGI BERWIBAWA, telah terkorban untuk negaranya. Semoga ahli keluarga, sahabat dan rakan sekerja Muhammad Adib dianugerahi ILAHI dengan ketabahan dan kesabaran menghadapi peristiwa pahit ini. Pada pagi Jumaat yang berkat ini, sama-sama kita pohon kepada ILAHI, agar roh Muhammad Adib mendapat dakapan ihsan dan kasih ILAHI; kita pohonkan agar ALLAH Subhanahu Wata’ala menerima rohnya dalam kalangan roh-roh yang dimuliakan sebagai syahid. Sama-sama kita bacakan Surah Al-Fatihah, semoga apa juga ganjaran daripada bacaan tersebut, disampaikan kepada roh Allahyarham Muhammad Adib bin Mohd. Kassim. Al-Fatihah.

Related posts

Leave a Comment