PKP dilanjut sehingga 9 Jun

TAHUN ini tidak ada pergerakan balik kampung sempena cuti Hari Raya Aidilfitri.. ini kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini dikenali Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sepatutnya berakhir pada 12 Mei ini dilanjutkan lagi selama empat minggu sehingga 9 Jun ini.

Ini bermakna, semua peraturan dan SOP yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKPB pada masa ini akan kekal berkuatkuasa termasuk pada Hari Raya Aidilfitri.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan demikian berkata, langkah itu diambil atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.

“Minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua, perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak dibenarkan,” katanya dalam perutusan khas, 10 Mei.

Beliau tahu ramai yang sedih tak dapat balik berhari raya di kampung bersama keluarga tetapi meminta semua bersabar.

“Bila keadaan kembali pulih sedikit masa lagi, saudara-saudari bolehlah balik ke kampung halaman menziarahi ibu bapa dan sanak saudara,” katanya.

Bagaimanapun ziarah-menziarahi dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa.

Setiap keluarga hendaklah mematuhi SOP kesihatan seperti penjarakan sosial, pemakaian penutup mulut dan hidung, dan amalan kebersihan kendiri seperti penggunaan hand sanitizer sepanjang sambutan perayaan ini.

Katanya, Kementerian Kesihatan juga menyarankan supaya elakkan daripada berada di tempat yang sesak atau tempat yang tertutup. Kalau nak bersembang dengan tetamu pun, jarak-jarakkan sedikit. Tidak perlulah duduk terlalu rapat.

Beliau mengingatkan bahawa walaupun kita telah mencapai banyak perkembangan positif dalam usaha memerangi wabak Covid-19, usaha masih belum berjaya sepenuhnya.

Mengenai solat berjemaah di masjid, termasuk solat Jumaat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sedang memperhalusi tatacara atau SOP tertentu yang boleh diamalkan oleh para jemaah.

SOP itu akan dimuktamadkan dan dipersembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja- Raja selaku Ketua Agama Islam persekutuan dan negeri-negeri untuk diperkenankan, kerajaan akan mengumumkan kebenaran untuk bersolat jemaah di masjid.

Beliau percaya dengan pelaksanaan SOP yang teratur, masjid-masjid di kawasan hijau bersedia untuk dibuka kepada ahli-ahli kariah.

“Berikan sedikit masa kepada pihak berkuasa agama Islam untuk memperhalusi SOP yang berkaitan. InsyaAllah, dalam masa terdekat ini kita boleh menunaikan ibadat kita dengan lebih sempurna dan syiar Islam akan bersinar semula,” katanya.

Related posts

Leave a Comment