‘Selamat jika semua selamat’

TIADA orang yang akan selamat sehingga semua orang selamat. Itu ingatan Dr.Mike Ryan, Pakar Kesihatan Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ketika bercakap mengenai usaha memerangi Covid-19.

Mesejnya jelas supaya setiap orang dalam menghadapi penularan wabak Covid-19  perlu  menjaga diri mereka daripada dijangkiti supaya dapat menyelamatkan diri dan orang lain.

Justeru, masyarakat harus menjalani perubahan gaya hidup yang signifikan sehingga vaksin dapat dihasilkan.

Katanya, seluruh negara perlu kembali kepada prinsip asas pengawasan kesihatan masyarakat jika ingin menangani Covid-19.

“Pengawasan lebih ketat kesihatan awam perlu ditingkatkan kerana banyak negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Switzerland, Mexico dan Jerman telah memulakan usaha membuka semula ekonomi mereka,” katanya.

Menurut Ryan, semua negara harus fokus kepada asas perjuangan melawan virus itu secara global melalui mencari potensi jangkitan baru, memburu pandemik itu, mengesahkan pesakit dan mengasingkan mereka yang dijangkiti untuk menyelamatkan orang lain.

WHO melihat kenyataan itu sebagai realiti yang semua pihak perlu kembali ke pengawasan kesihatan masyarakat.

Ryan yang bercakap dalam sidang media di Geneva pada Jumaat, berkata, semua pihak perlu kembali kepada perkara yang dilakukan sejak beberapa bulan lalu, iaitu mencari kes, menjejaki kontak, melakukan ujian dan mengasingkan pesakit.

Ryan menyeru semua negara untuk tetap bersatu ketika virus ini merebak antara negara dengan kadar yang berbeza dengan jumlah kematian yang tinggi.

Katanya, sebagai contoh Rusia sedang menangani pandemik yang tertangguh apabila kes baharu meningkat di negara itu sejak beberapa hari selepas melepasi Perancis dan Jerman.

Related posts

Leave a Comment