Sedia bertembung jika gagal sepakat

KUALA MUDA 25 Sept. – Pas bersedia bertembung dengan UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang sekiranya usaha untuk mencapai kata sepakat gagal, kata Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau bagaimanapun menegaskan parti itu sentiasa berpegang kepada usaha untuk menyatukan parti-parti Melayu terutama membabitkan Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah payung penyatuan ummah.

Katanya, usaha untuk mengelakkan pertembungan antara Pas dan UMNO perlu diteruskan supaya tidak berlaku situasi  ‘menang jadi arang, kalah jadi abu’.

“Kalau dia (UMNO) lawan kita, kita lawan dengan dia (balik), kita (sebenarnya) terbuka, Pas ini (bersikap) terbuka, kita lebih suka untuk mencari jalan ke arah kebaikan bersama, (iaitu) penyatuan ummah,

“Tetapi UMNO isytihar hendak lawan solo, (sebab itu)? Kita tengoklah macam mana (kerjasama ini), saya tengok dalam mangkuk air ini, belum nampak lagi dia punya (petunjuk), tetapi mungkin ada cahaya di hujung terowong,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 dan Sambutan 90 Tahun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Lembangan Sungai Muda, Kuala Muda pada Ahad.

Beliau menegaskan bahawa Pas juga tidak pernah membelakangkan parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) dalam apa jua tindakan termasuk perbincangan yang dilakukan bersama UMNO.

Jelasnya, semua perkara yang dibincangkan akan dilapor terus kepada Majlis Pimpinan PN agar tidak wujud sebarang isu kelak.

Pada Sabtu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa semua parti komponen PN perlu sepakat bahawa musuh utama gabungan itu pada PRU15 adalah Barisan Nasional (BN).

Pengerusi PN itu sekali gus mengingatkan parti komponen PN supaya bergerak sebagai satu pasukan dengan hala tuju yang sama.

Jelas Muhyiddin, parti-parti dalam PN tidak sepatutnya membuat kenyataan atau menyatakan pendirian yang bertentangan antara satu sama lain.

Related posts

Leave a Comment