TERGANGGU seketika hasrat nak sambung tidur pagi ini apabila rakan-rakan bekas pekerja Utusan Melayu ‘mengirimkan’ rintihan permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) ditolak. Sebelum ini nama mereka tidak tersenarai dan mengemukakan permohonan baharu mulai 1 April. Masing-masing membuat semakan hari ini dan hasilnya ramai yang kecewa apabila status yang keluar TIDAK LULUS.
Alasan yang diberi termasuk pendapatan melebihi kelayakan atau mempunyai syarikat. Mungkin ramai lagi yang menerima nasib yang sama seperti bekas kakitangan Utusan. Ini sekadar contoh. Kepada yang LULUS , syukur Alhamdulillah.
Mereka tidak akan memohon jika menganggap diri tidak layak. Ketika menghadapi kesempitan dan kesulitan, bantuan seumpama ini amat membantu. BPN bukan bantuan sepanjang hayat seperti dinikmati pesara kerajaan yang akan menerima pencen setiap bulan tanpa gagal. Itu kelebihan pesara kerajaan, tidak risau soal RM setiap bulan.
Bukan mahu mengungkit sumbangan rakan-rakan ini melalui potongan cukai berjadual (PCB) sepanjang mereka bekerja tetapi sekurang-kurangnya mereka berhak untuk sama-sama mendapat BPN bagi meringankan beban. Bukan juga meminta balik apa yang mereka beri selama ini. Tak elok minta balik, nanti buruk siku! Apalah sangat RM1,500 berbanding PCB mereka setiap bulan selama berpuluh tahun.
Andainya seseorang itu mula membayar cukai setiap bulan, selama 10, 20 atau 30 tahun, berapa nilainya jika kerajaan ‘memberi balik’ ketika bekas pembayar cukai ini dalam kesusahan? Rasanya tidak jatuh muflis kerajaan sebaliknya golongan bekas pekerja inilah yang akan muflis.
.
Mereka tidak bekerja setelah sama ada diberhentikan akibat syarikat gulung tikar, memilih untuk berhenti atas pilihan secara sukarela atau bersara lebih awal atas faktor usia dan kesihatan.
Mereka yang masih ‘berusia’ tidak goyang kaki tetapi sedang bertatih mencari rezeki baharu. Apa yang mereka buat? Masing-masing menggunakan kepakaran yang ada termasuk membuat bisnes berdasarkan kepakaran itu. Syarikat didaftar bagi memudahkan urusan. Ada juga yang menyimpang daripada bidang sebelum ini, membawa Grab, penghantar makanan, jurujual produk dan ramai juga yang masih teraba-raba mencari kerja.
Mereka yang masih ‘berusia dan bertenaga’ ini perlu bekerja. Apatah lagi suami isteri yang dulu sama-sama bekerja di tempat sama sudah hilang kerja. Di atas kertas mereka ada duit malahan mungkin berhutang dengan LHDN kerana syarikat yang gulung tikar belum melunaskan bayaran atau hutang pekerja.
Memulakan bisnes bukanlah semudah disangka. Syarikat besar pun boleh bankrap. Modal ada tetapi untung belum pasti. Mungkin masuk angin keluar asap.
Lakukan sesuatu. Pihak berkuasa khususnya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu melakukan penyelidikan bukan hanya berdasarkan penyata. Lihat situasi semasa. Mungkin tidaklah sehingga turun padang seperti Pusat Zakat menyantuni asnaf tetapi sekurang-kurangnya lihat kes secara menyeluruh. Contohnya mereka yang terpaksa berhenti kerja atau diberhentikan. Jika selama ini risikan dilakukan untuk mengesan mereka yang gagal membayar cukai sehingga ke ‘lubang cacing’ kali ini risik mereka yang sebenarnya amat memerlukan bantuan.
Harus diingat, pekerja swasta tidak ada pencen seperti kakitangan kerajaan. Mereka mengharapkan simpanan hari tua, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ramai sedang ‘menarah bukit KWSP’ sedikit demi sedikit. Lama-lama rata.
Justeru, semakan, saringan dan mengemaskini data perlu dilakukan bukan sekadar memberi alasan TIDAK LULUS hanya kerana berdaftar dengan SSM atau mendakwa pendapatan melebihi RM8,000. Apakah perkiraan yang digunakan apabila suami isteri tidak bekerja memperoleh pendapatan sebanyak itu?
Diharapkan, pihak berkenaan membuka peluang rayuan bagi kes-kes begini. Lakukan semakan apa sebenarnya yang berlaku sehingga suami isteri yang tidak bekerja tidak layak mendapatkan bantuan.
Jangan sekadar melihat penyata di atas kertas. Selidiki apa yang berlaku supaya wujud keadilan untuk semua. Jangan mengambil pendekatan mengutip cukai semata-mata tetapi ambillah pendekatan untuk menghulurkan kembali walaupun sedikit, yang mungkin sekali dua seumur hidup. Sekurang-kurangnya pembayar cukai itu dapat merasai semula cukai yang pernah dibayar ketika mereka sedang dalam kesusahan.
Jejaki mereka atau panggil bersemuka bagi mendengar dan menerangkan apa sebenarnya yang menjadi ukuran untuk mendapatkan bantuan itu supaya TIADA GOLONGAN YANG AKAN TERCICIR.