KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Dr Mohd Radzi Md Jidin menolak dakwaan Marzuki Yahya yang mendakwa Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu tidak membuat keputusan meninggalkan gabungan Pakatan Harapan (PH).
Mohd Radzi sebaliknya menjelaskan bahawa MPT Bersatu dalam mesyuaratnya pada 23 Februari telah membuat keputusan yang jelas untuk keluar PH dan membentuk sebuah gabungan politik baharu dengan parti-parti lain di luar PH.
“Malah keputusan ini bukanlah dibuat secara tergesa-gesa. Ia telah dibincang di pelbagai peringkat pimpinan parti beberapa bulan sebelumnya dan dimuktamadkan dalam mesyuarat Biro Politik Bersatu pada 21 Februari dan mesyuarat MPT Bersatu pada 23 Februari,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Radzi berkata perancangan untuk membawa Bersatu keluar dari PH dan membentuk sebuah gabungan politik baharu diketahui dan disokong oleh Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad sendiri.
Namun katanya, hanya di saat-saat akhir perancangan ini sepatutnya dilaksanakan, Dr Mahathir mempunyai pendirian yang berbeza dengan pendirian parti.
“Sebagaimana diketahui umum, Tun (Dr Mahathir) sentiasa didesak oleh pimpinan PH terutamanya dari PKR dan DAP supaya beliau meletakkan jawatan Perdana Menteri.
Beliau dan pimpinan Bersatu yang lain serta ahli-ahli parti tidak selesa dengan desakan ini. Kerana itu, ramai yang berpandangan tiada lagi kesepakatan dalam PH,” katanya.
Radzi juga berkata pada 24 Februari, Dr Mahathir telah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu dengan alasan beliau tidak lagi mendapat sokongan ahli-ahli MPT.
Sehubungan itu katanya, menurut Fasal 16.9 Perlembagaan Bersatu, apabila Pengerusi berhenti maka Presiden, Muhyiddin Yassin memangku jawatan Pengerusi.
Sebagai Presiden dan pemangku Pengerusi Bersatu, Muhyiddin pada hari yang sama telah membuat pengumuman Bersatu keluar dari PH sebagaimana yang telah diputuskan oleh MPT Bersatu dalam mesyuarat sehari sebelumnya.
Hakikat bahawa Bersatu telah keluar dari PH juga diakui oleh Dr. Mahathir sendiri dalam perutusan khas beliau pada 26 Februari beliau menyebut “Saya minta diberi masa. Tetapi parti saya Bersatu telah memutuskan untuk keluar dari Pakatan Harapan” (Rujuk perenggan 10, Perutusan Khas YAB Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada 26 Februari 2020),” jelasnya.
Justeru beliau mengulangi bahawa dakwaan yang mengatakan MPT Bersatu tidak pernah membuat keputusan keluar dari PH adalah tidak benar sama sekali dan tidak disokong oleh fakta.