Apa pula SOP PRK Chini?

SATU lagi pilihan raya kecil (PRK) akan diadakan. Kali ini di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini berikutan kematian wakil rakyatnya, Abu Bakar Harun pada awal pagi Khamis akibat serangan jantung.

Menariknya kali ini, PRK bakal diadakan ketika rakyat perlu menjalani kehidupan norma baharu akibat Covid-19 – tanpa berhimpunan ramai dan penjarakan sosial.

Sejauh mana persediaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menghadapi situasi begini. Adakah perlu ditangguhkan? Jika diteruskan, apakah SOP yang perlu?

Jika ikut ‘tradisi’ PRK di negara ini, berdasarkan corak kempennya, memang tidak wajar diadakan PRK. Namun bagaimana kehendak orang politik?

Apa pun, terserah kepada SPR untuk mencari kaedah yang sesuai sekiranya PRK tidak dapat dielakkan.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata pihaknya masih perlu menunggu pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Pahang sebelum sebarang tindakan dibuat.

“SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut.Tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh pihak SPR,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Abu Bakar mempertahankan DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi menewaskan Mohd Razali Ithnain dari PKR dan Mohd Fadhil Noor Abdul Karim, calon Pas.

Abu Bakar merupakan penyandang kerusi DUN Chini sejak PRU ke-11 pada 2004.

Chini adalah satu daripada empat kerusi DUN di bawah Parlimen Pekan yang disandang oleh bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak.

Related posts

Leave a Comment