PENDAKWAH dan pengasas Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia, Ismail Kamus menghembuskan nafas terakhir pada pukul 12.30 tengah pagi, 8 Mei di kediaman allahyarham di Ampang.
Berita pemergian tokoh ternama tanah air itu dikongsi oleh Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia menerusi laman Facebook rasmi.
Allahyarham yang berusia 72 tahun sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung dan strok ringan, serta jangkitan kuman di paru-paru.
Menurut Exco Penerangan Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia, Abdul Hadi Jusoh, veteran Pas itu dimasukkan ke wad sejak 26 April disebabkan keadaaan kesihatan yang agak lemah.
Allahyarham merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia dan pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.
Sementara itu, laman Facebook Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia dibanjiri ucapan takziah daripada orang ramai yang berkongsi rasa sedih dengan pemergian Allahyarham.
Takziah kepada keluarga Allahyarham, semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.