57 kes libatkan warga asing

PUTRAJAYA : Sebanyak 68 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan menjadikan 6,535 kes manakala kematian kekal 107 setelah tiada kematian baharu direkodkan untuk tempoh dua hari berturut-turut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 68 kes, sebanyak 57 kes melibatkan kalangan bukan warganegara Malaysia.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,564 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Terdapat 88 kes telah pulih menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 4,864 kes iaitu 74.43 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, 18 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, tujuh kes memerlukan bantuan pernafasan. 

Sementara itu, satu kluster baharu dikenal pasti melibatkan 60 kes positif iaitu 53 warga asing dan tujuh warga tempatan di sebuah kilang di Pedas.

“Seperti yang dimaklumkan pada 2 Mei, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal pasti satu kluster yang melibatkan warga pekerja di sebuah kilang di Pedas, Negeri Sembilan.

“Kluster ini mula dikesan apabila seorang kakitangan kilang itu didapati tidak sihat dan mula mengalami gejala demam, batuk, selesema, sesak nafas dan sakit kepala pada 5 April,” katanya.

Beliau berkata susulan itu, siasatan dan saringan bagi kontak rapat kakitangan berkenaan dilakukan dan sehingga hari ini, 786 orang telah disaring untuk Covid-19 terdiri daripada pekerja kilang dan ahli keluarga mereka.

Daripada jumlah keseluruhan ini, 60 kes didapati positif, 286 negatif dan 440 orang masih menunggu keputusan. Punca jangkitan kluster ini masih di dalam siasatan.

Kes-kes positif kluster ini melibatkan tujuh warganegara Malaysia, 25 kes warga Nepal; 18 warga Bangladesh; lapan warga Indonesia; dan dua warga Myanmar.

Related posts

Leave a Comment