Bertenang cari siapa yang harus dipercayai

(Versi siaran bebasnews.my )

SATU usul percaya dan satu lagi usul tidak percaya. Itu yang hangat diperkatakan menjelang sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei ini.

Usul percaya kepada Dr. Mahathir Mohamad dibuat oleh Presiden Warisan, Shafie Apdal sementara usul tidak percaya pula oleh Ahli Parlimen Langkawi, Dr. Mahathir terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Kedua-dua surat itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi.

Namun usul Shafie yang juga Anggota Parlimen Semporna ditolak Speaker kerana ia tidak selaras dengan Artikel 43 Perlembaaan Persekutuan, berhubung kuasa Raja untuk melantik perdana menteri.

Benar, tidak salah usul berkenaan dibawa ke Parlimen tetapi adakah dua usul itu perlu disegerakan dalam situasi negara yang sedang berperang dengan wabak Covid-19 yang virusnya tidak kelihatan?

Pada masa yang sama jika dibenarkan, bilakah usul itu mahu dibentangkan dalam tempoh mesyuarat yang diperuntukkan hanya satu hari. Difahamkan, hanya ada Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen itu pada 18 Mei nanti.

Adakah perlu tambahan hari? Adakah selama ini desakan supaya Dewan Rakyat bersidang ketika wabak Covid-19 adalah untuk tujuan ini – soal jawatan?

Soal percaya pada siapa? Adakah ini suatu keutamaan?

Apa yang membimbangkan usul ini boleh memberi kesan tidak baik ketika fokus kerajaan untuk memerangi wabak Covid-19. Cukuplah dengan tempoh peralihan sebelum ini ketika wabak mula menular. Banyak masa telah terbuang.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pun mengambil alih ketika wabak ini sedang merebak dan Kabinet yang ada belum menerima gaji kerana dua bulan pendapatan diserahkan kepada dana membantu menghadapi wabak ini.

Mungkin ahli-ahli politik boleh ‘bertenang’ dahulu dan memberi fokus untuk bersama rakyat menangani wabak Covid-19 ini. Jangan kerana usul sebegini, kerajaan membuang masa terhadap perkara yang tidak perlu disegerakan.

Mungkin pandangan rakyat biasa dan bukan orang politik berbeza dengan pandangan orang politik yang kebanyakannya lebih fokus kepada kuasa dan jawatan atau kedudukan.

Harus diingat kronologi penubuhan kerajaan PN ini adalah rentetan pergolakan dalam Pakatan Harapan (PH) yang menyebabkan Bersatu keluar PH dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan penyokongnya keluar parti.

Kerajaan PH dianggap tumbang apabila Dr. Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan kekosongan itu perlu diisi.

Diharapkan untuk sementara ini fokus kepada kesihatan rakyat dan mengembalikan rantaian ekonomi negara yang parah. Jangan kerana ghairah berpolitik, rantaian Covid-19 semakin kuat dan rantaian rakyat semakin longgar.

Related posts

Leave a Comment