PRN: Keyakinan PN bagai mimpi siang hari

BUTTERWORTH 26 Mac – Keyakinan Perikatan Nasional (PN) untuk memenangi 15 kerusi Melayu di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dianggap sebagai bermimpi di siang hari, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata pada ketika ini, semakin ramai orang yang bermimpi.

“Jadi, elok-eloklah kalau rasa matahari itu tengah panas, mimpi itu terulit apabila tidurnya terlalu nyenyak. Please interpret by yourself’ (sila tafsirkan sendiri makna ayat ini),” katanya ketika diminta mengulas mengenai impian PN bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), yang majoriti pengundinya Melayu.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyerahkan kunci kepada 10 penyewa, yang mewakili 52 peserta projek perumahan Skim Perumahan Rakyat (SPR) PERDA di Kuala Sungai Pinang dalam daerah Barat Daya.

Beberapa media tempatan sebelum ini melaporkan, Pas dan Bersatu Pulau Pinang sudah mencapai persefahaman untuk membahagikan sejumlah 15 kerusi DUN kawasan majoriti Melayu pada PRN akan datang.

Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Fauzi Yusoff, dilaporkan berkata, kedua-dua parti komponen PN negeri itu turut mengadakan perbincangan dalam mengenal pasti calon berwibawa.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),  Pas Pulau Pinang bertanding 21 kerusi dengan satu daripadanya iaitu DUN Penaga dimenangi Mohd Yusni Mat Piah.

“Dulu kita bertanding 21 kerusi kerana pada masa itu kita bersendirian. Tetapi oleh kerana (sekarang) kita berkawan, kita nak supaya kita ada semangat untuk bersama-sama membangunkan dan membela rakyat di Pulau Pinang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment