Bersatu tidak rujuk semula PH

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak berhasrat kembali semula ke pangkuan Pakatan Harapan (PH), kata Ketua Penerangannya, Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Katanya, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sebagai badan eksekutif tertinggi parti dalam mesyuarat pada 23 Februari lalu memutuskan untuk keluar daripada PH dan tidak lagi mempunyai apa-apa hubungan kerjasama dengan gabungan berkenaan.

“Sebarang usaha untuk membawa Bersatu bekerjasama dengan PH adalah bercanggah dengan keputusan rasmi parti. Adalah menjadi tanggungjawab setiap ahli parti untuk sentiasa mematuhi keputusan yang dibuat oleh parti serta melaksanakan dasar-dasar parti,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu yang memberi gambaran seolah-olah Bersatu berminat untuk menyertai semula PH.

Mohd Radzi yang juga Menteri Pendidikan turut menegaskan bahawa kenyataan Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir yang menyeru ahli Bersatu supaya bekerjasama semula dengan PH adalah pendirian peribadi beliau dan tidak melambangkan pendirian rasmi parti.

“Saya ingin mengingatkan mana-mana ahli yang ingkar termasuk dengan sengaja menyertai gabungan parti-parti lain yang bercanggah dengan pendirian parti adalah tergugur keahliannya secara serta-merta menurut Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu.

“Oleh itu, setiap ahli hendaklah sentiasa mematuhi pendirian rasmi parti yang telah dibuat secara kolektif mengikut kaedah dan saluran yang selaras dengan perlembagaan parti,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan bahawa Dr Mahathir Mohamad tidak mempunyai kuasa untuk menandatangani kenyataan bersama PH, Bersatu dan Parti Warisan Sabah bertarikh 4 Mei lepas dan ia adalah satu tindakan yang bercanggah dengan pendirian parti.

Related posts

Leave a Comment