Tok Mat tak tahu isu ceramah Wadi Annuar

REMBAU 4 Sept. – Ahli Parlimen Rembau Mohamad Hasan kesal dengan tindakan pihak tertentu yang cuba mengaitkan beliau dalam isu pembatalan ceramah agama Ustaz Wadi Annuar yang bakal berlangsung di Masjid Sri Sendayan, di sini, Sabtu ini.

Mohamad yang juga Menteri Luar menegaskan beliau tidak tahu menahu mengenai program berkenaan yang akan dibuat di kawasan diwakilinya.

“Walaupun dalam kawasan saya, tapi saya pun tak tahu masjid mana. Sebagai wakil rakyat kita tidak ada apa-apa kuasa terhadap pengurusan masjid ataupun syarahan agama di negeri ini.

“Berhentilah mengutuk saya kerana saya tak ada kena mengena pun. Perkara itu (pembatalan ceramah Ustaz Wadi Annuar) di luar pengetahuan saya. Apabila saya balik daripada Beijing (China), bising mengenai perkara ini,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah Rembau (PPD), di Dewan PPD, di sini, petang ini.

Mohamad menegaskan urusan berkaitan masjid adalah bidang kuasa kerajaan negeri di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Beliau difahamkan, mana-mana penceramah agama yang hendak mengadakan ceramah di Negeri Sembilan perlu mendapat kebenaran daripada Jabatan Mufti Negeri Sembilan manakala jika menggunakan masjid sebagai tempat ceramah, mesti mendapat kebenaran daripada JHEAINS.

“Jadi, perkara ini di luar pengetahuan saya, cumanya ia berlaku di kawasan saya,” katanya yang turut mempersoalkan kenyataan Ustaz Wadi Annuar yang tidak jelas atau tidak menyatakan dengan terperinci pihak yang membatalkan program ceramah itu.

Terdahulu, Ustaz Wadi Annuar menerus satu video mendakwa ceramah beliau yang bakal dilangsungkan di Masjid Sri Sendayan pada Sabtu ini dibatalkan walaupun semua persiapan bagi program itu sudah diatur rapi oleh pihak terbabit termasuk pengurusan Masjid Sri Sendayan dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Semalam, Menteri Besar, Aminuddin Harun menafikan beliau campur tangan dalam isu pembatalan ceramah agama itu.

Beliau berkata, pihaknya tidak terbabit dan tidak mempunyai maklumat berkaitan program ceramah agama Healing De’ Masjid oleh penceramah bebas terkenal itu.

“Saya tidak tahu menahu mengenai perkara itu, malah tak tahu program agama yang dianjurkan setiap masjid dan penceramah yang dijemput. Perkara itu antara dia dengan pihak masjid. Apabila saya baca mengenai pembatalan ceramah, saya sendiri pun terperanjat.

Saya harap mereka yang rasa teraniaya perlu beri penjelasan sejelas-jelasnya, jangan sampai menimbulkan fitnah kepada pihak lain, khususnya kerajaan negeri,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO di Wisma Negeri.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment