Pesara nyaris hilang pencen

SEORANG pesara nyaris kehilangan wang pencen bulanan akibat melanggar perintah kuarantin bagi membendung penularan jangkitan Covid-19. Dia bernasib baik kerana diarah menjalani Perintah Kehadiran Wajib (PKW) iaitu melakukan khidmat masyarakat.

Misri Parlan, 66 diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Klang menjalani PKW selama empat jam sehari selama dua bulan berkuatkuasa selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Bagaimanapun, menantunya, A.D Safian Mohd Dimyati,37 seorang buruh didenda RM2,000 atau penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Roszianayati Ahmad ketika menjatuhkan hukuman berkata, beliau mengambil serius kesalahan kedua-dua tertuduh yang boleh menyebarkan Covid-19  tetapi memberi peluang serta mengingatkan supaya tidak lagi mengingjari arahan mematuhi PKP dan kuarantin 14 hari.

Mereka mengaku bersalah ingkar perintah pengawasan dan pemerhatian bagi kontak jangkitan Covid-19 dengan tidak berada di sebuah rumah beralamat di Kampung Bukit Kapar, Klang pada 9 April, pukul 6.20 petang. Sebelum itu, mereka diperintah untuk berada di bawah pengawasan dan pemerhatian di rumah itu selama 14 hari dari 8 April sehingga 22 April..

Semasa rayuan, peguam Nicholas Cheoh memohon mahkamah mengeluarkan perintah untuk Misri melakukan kerja-kerja kebajikan berbanding hukuman penjara atau denda kerana dibimbangi akan menjejaskan pencen yang diterima setiap bulan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Abd Raoff, bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana perbuatan mereka  boleh menyebarkan Covid-19 dan membahayakan orang di sekitar mereka serta boleh dijadikan pengajaran.

Pesara kerajaan yang disabit kesalahan berkaitan PKP sehingga membawa hukuman penjara walaupun sehari bakal kehilangan manfaat wang pencen setiap bulan. Pesara masih layak menerima wang pencen selagi mana dia cuma didakwa di mahkamah atau didenda.

Di bawah Seksyen 21 (1) Akta Pencen 1980, seseorang pesara itu akan hilang kelayakan pencen serta-merta sebaik hukuman mati atau penjara dijatuhkan terhadapnya.

Related posts

Leave a Comment