Singapura catat peningkatan

KES positif Covid-19 di INDONESIA terus meningkat kepada 10,118 kes, dengan tambahan 347 lagi kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Jurucakap pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto, memberitahu ketika ini sebanyak 21,827 pesakit di bawah pengawasan virus itu.

Dalam tempoh 24 jam, dari 12 tengah hari semalam (29 April) sehingga 12 tengah hari ini juga, berlaku lapan lagi kematian, menjadikan jumlah kematian kini meningkat kepada 792 orang,

Achmad Yurianto berkata jumlah pesakit yang sembuh daripada virus itu setakat ini adalah 1,522 orang.

Di FILIPINA, sehingga pukul 4 petang ini (30 April), Jabatan Kesihatan (DOH) mengesahkan 276 kes baharu menjadikan jumlah kes 8,488 manakala 10 kematian dilaporkan menjadikan 568 kes.

DOH juga memaklumkan 20 kes pulih menjadikan kes pulih keseluruhan 1,043.

BRUNEI DARUSSALAM pula kekal seperti semalam (29 April), apabila tiada sebarang kes baharu dilaporkan. Jumlah kes kekal 138 manakala kes sembuh juga kekal 124

Sebanyak 13 kes masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan di mana dua kritikal yang memerlukan bantuan mesin pernafasan.

SINGAPURA mengesahkan tambahan 528 kes baharu jangkitan termasuk enam kes melibatkan rakyat Singapura atau Penduduk Tetap.

Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataan melaporkan ‘majoriti mendadak’ kes adalah dari penghuni asrama hingga membawa jumlah kes di republik ini kepada 16,169 orang.

Menurut kenyataan itu, jumlah kes baharu dalam komuniti telah berkurangan, daripada purata 25 kes sehari pada minggu sebelum kepada purata 17 kes sehari pada minggu lepas.

Daripada jumlah 15,641 kes pada Rabu, Singapura mengklasifikasi 1,192 sebagai kes komuniti, 571 kes import, dan 524 kes melibatkan pemegang permit kerja yang tidak tinggal di asrama.

Sementara itu, kementerian berkenaan berkata, penghuni asrama mendominasi jumlah berkenaan merangkumi 85 peratus atau 13,354 kes, dengan kebanyakan kes menunjukkan simptom ringan.

THAILAND merekodkan tujuh kes baharu positif Covid-19 menjadikan keseluruhan kes 2,954.

Kementerian Kesihatan melaporkan kes yang dikesan hari ini termasuk tiga kes di Phuket, satu di Krabi dan dua yang baru pulang dari Malaysia.

Angka kematian kekal 54 apabila tiada kematian baharu dilaporkan sementara 22 kes pulih menjadikan 2,687 kes sembuh manakala 213 masih menerima rawatan.

Related posts

Leave a Comment