BINTANG Bollywood, Irrfan Khan, 53, meninggal dunia di hospital Kokilaben Dhirubhai Ambani Mumbai pagi ini (Rabu) 29 April akibat tumor.
Beliau yang dimasukkan ke hospital pada Selasa berikutan jangkitan usus pernah membintangi filem popular seperti ‘Life of Pi’ dan ‘Slumdog Millionaire’ serta turut membintangi filem 2016 ‘Inferno’ bersama Tom Hanks.
Sabtu lalu, Irrfan Khan kematian ibunya Saeeda Begum di Jaipur tetapi tidak dapat menghadirinya kerana perintah berkurung berikutan penularan wabak Covid-19.
Pada 2018, dia didiagnos menghidap ketumbuhan neuroendokrin, penyakit yang menjejaskan sistem pesanan hormon tubuh dan kajian mendapati ia hanya dihidapi 35 orang dalam 100,000 orang.
Irrfan Khan pernah mendapat rawatan di United Kingdom selama setahun dan kembali ke India pada Februari 2019.
Perdana Menteri India Narendra Modi yang turut simpati kepada keluarga dan peminat menyifatkan kematian Khan adalah “kehilangan bagi dunia filem dan teater. Dia akan dikenang kerana persembahannya yang serba boleh di pelbagai medium.”
Rakan pelakon Bollywood Amitabh Bachchan menyifatkan kematian Khan meninggalkan “kekosongan besar”. “Bakat yang luar biasa, rakan sekerja yang ramah, penyumbang produktif dunia sinema … meninggalkan kami terlalu cepat,”
Sementara itu, pelakon Kamal Haasan menyifatkan Khan “antara pelakon yang bagus” lakonannya sering “membuat saya kagum.”
Pengarah filem Shoojit Sircar, yang bekerjasama dengan Khan dalam filem ‘Piku’, menulis di Twitternya: “Anda telah berjuang dan terus berjuang. Saya bangga dengan anda.”
Khan dilahirkan di Rajasthan dan berasal daripada keluarga yang tidak mempunyai darah seni.
“Saya sedih dan terkejut dengan berita itu, beliau antara pelakon yang berbakat. Saya mengucapkan takziah kepada keluarga, rakan dan peminatnya,” kata Ketua Menteri Rajasthan Ashok Gehlot.
Beliau meninggalkan seorang isteri Sutapa Sikder, dan dua anak lelaki Babil dan Ayan.