Amirudin mahu pertahan Naib Presiden PKR

SHAH ALAM 28 Feb. – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengesahkan akan mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti itu yang dijadual berlangsung 24 Mei ini.

Beliau berkata keputusan berkenaan mengambil kira faktor kestabilan parti yang merupakan antara komponen menerajui Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Sebab itu, saya berpendirian kita harus terus menyusun kekuatan demi untuk pastikan Selangor jitu. Kalau Selangor sudah jitu dan padu, insya-Allah negeri lain juga akan jitu dan padu. Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) berdiri dengan sokongan 100 peratus kita semua tanpa ada belah bahagi.

“… demi memikir itu, saya yakin Perdana Menteri harus dapat sokongan terus daripada Datuk Seri Rafizi Ramli selaku Timbalan Presiden dan saya akan terus berdiri selaku Naib Presiden kerana kita kena jadi satu suara yang kuat dan padu untuk maju,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Selangor termasuk Wanita serta Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri di sini malam ini.

Mesyuarat itu disempurnakan Perdana Menteri merangkap Presiden PKR  Anwar Ibrahim.

Turut hadir Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek, Ketua AMK Adam Adli dan Menteri Komunikasi merangkap Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil.

Amirudin sebelum ini dilaporkan berkata keputusan sama ada beliau akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR atau sebaliknya akan diputuskan hari ini dan akan diumumkan selepas pertemuan dengan Perdana Menteri.

Nn

Related posts

Leave a Comment