Thailand catat angka satu digit

THAILAND buat hari ketiga mencatatkan kes baharu positif Covid-19 dalam kiraan satu digit apabila sembilan kes dilaporkan hari ini, 29 April termasuk dua kes melibatkan petugas kesihatan.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata jumlah kumulatif kes kini 2,947 manakala kematian kekal 54 orang tanpa kematian baharu dilaporkan..

Sebanyak 2,665 kes pulih dan dibenar pulang manakala 228 masih menerima rawatan di wad.

Daripada 2,947 kes, Bangkok mencatatkan jumlah tertinggi kes iaitu 1,488 diikuti Phuket (213), Nonthaburi (157), Samut Prakan (113) dan Yala, (113).

Di INDONESIA, kes positif Covid-19  terus meningkat kepada 9,771 kes, dengan tambahan 260 lagi kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Jurucakap pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto, berkata dalam  tempoh 24 jam, dari pukul 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, berlaku 11 lagi kematian, menjadikan jumlah kematian kini meningkat kepada 784 orang.

Provinsi Jakarta mencatatkan kematian tertinggi iaitu 370 kes, diikuti Jawa Timur (95 kes), Jawa Barat (79) dan selebihnya di wilayah lain di Indonesia.

Sementara itu Jabatan Kesihatan Filipina (DOH) melaporkan 254 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 8,212.

Sehingga pukul 4 petang hari ini, sebanyak 28 kematian dilaporkan menjadikan 558 kes manakala 48 kes pulih menjadikan 1,023.

Di BRUNEI DARUSSALAM pula Kementerian Kesihatan mengesahkan jumlah kes kekal 138 apabila tiada kes baharu dilaporkan manakala kes sembuh juga kekal 124.

Related posts

Leave a Comment