PUTRAJAYA: Satu kematian dan 31 kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kematian 100 kes sementara kes positif Covid-19 sebanyak 5,851 kes.
Dalam masa yang sama terdapat 75 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah sebanyak 4,032 kes bersamaan dengan 68.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid- 19 adalah 1,719 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
“Sehingga kini, seramai 36 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 17 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media harian pada Selasa, 28 April.
Mengenia kes kematian, ia melibatkan lelaki warganegara Malaysia berumur 67 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan strok.
Mangsa dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 4 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 28 April 2020 pukul 9.40 pagi.
Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak boleh menghapuskan secara menyeluruh penularan wabak Covid-19 sebaliknya masyarakat perlu bersedia menghadapi virus berkenaan untuk tempoh yang lebih panjang.
Bagaimanapun, keupayaan dan pencapaian Malaysia dalam melandaikan lengkung dan mengawal penularan virus Covid-19 adalah kejayaan bersama rakyat dan kerajaan.
Katanya, PKP di negara ini merangkumi empat pelan tindakan utama, di mana dua tindakan adalah oleh kerajaan dan dua lagi melibatkan masyarakat umum.
Tindakan kerajaan adalah kawalan pergerakan dan kawalan sempadan amat perlu untuk mengurangkan kes-kes import Covid-19 memandangkan lebih 180 buah negara terbabit dengan jangkitan ini.
Rakyat pula perlu meneruskan tindakan mereka mengamalkan jarak sosial yang selamat sekurang-kurangnya satu meter dan menjaga tahap kebersihan diri terutama kerap membasuh tangan dengan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman.