KUALA LUMPUR 27 April – Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) sebulat suara bersetuju mempertahankan Kerajaan Perpaduan yang turut dianggotai BN, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Katanya, BN komited untuk bersama-sama membangunkan agenda polisi rakyat terus dilaksanakan.
“Barisan Nasional menyeru agar semua pemimpin dari pelbagai lapisan masyarakat untuk terus menjaga perpaduan dan keharmonian agar kestabilan politik dapat dijamin,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Di samping itu Dewan Tertinggi BN juga telah dimaklumkan secara mendalam persiapan parti menghadapi Pilihan Raya enam Negeri, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Perbincangan juga melibatkan model kerjasama di antara Barisan Nasional bersama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Parti komponen melalui Presiden parti masing-masing juga merakamkan ucapan tahniah kepada Pengerusi BN selaku Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi BN selaku Timbalan Presiden UMNO yang menang tanpa bertanding dalam pemilihan UMNO sesi 2023-2026.
Mesyuarat Dewan Tertinggi juga bersetuju melantik Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Bendahari Agung BN.
Mesyuarat juga bersetuju dengan pelantikan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Puteri Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berdasarkan fasal 8.1.(G) Perlembagaan BN.
Berdasarkan Fasal 9 Perlembagaan BN, mesyuarat juga melantik pengganti wakil UMNO dan PBRS ke Dewan Tertinggi iaitu Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Freddy Sua.
Dewan Tertinggi juga bersetuju untuk mengambil bahagian dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada 14 Mei 2023, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC-KL).
