Kes Indonesia, Filipina naik

THAILAND merekodkan 15 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 2,922 kes dan kematian kekal 51.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata, sebanyak 2,594 kes pulih dan dibenarkan keluar hospital manakala 277 lagi masih dirawat.

Beliau berkata dua daripada 15 kes yang dilaporkan itu dari Yala, wilayah selatan negara berkenaan, susulan penemuan kes aktif.

“Thailand mencatatkan kes positif baharu yang rendah. Ini petunjuk yang baik, bagaimanapun kita perlu memantau lebih dekat situasi ini.

“Kita perlu terus mengamalkan kebiasaan baharu sehingga vaksin ditemui. Jika tidak, kita akan menyaksikan peningkatan ketara kes baharu,” katanya dalam taklimat harian Covid-19.

Bangkok mencatatkan jumlah kes jangkitan tertinggi dengan 1,481 daripada 2,922 kes kumulatif yang dilaporkan di negara itu diikuti Phuket (205), Nontaburi (156), Samut Prahkan (111) dan Yala (108).

Sementara itu, INDONESIA  mencatatkan 23 lagi kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam menjadikan 743 kes.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19 Achmad Yurianto,  jumlah kes positif pula adalah 8,882.

“Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, terdapat 275 kes positif baharu manakala 19,648 pesakit masih berada dalam pengawasan,” katanya.

Provinsi Jakarta mencatat kematian tertinggi iaitu 353 kes diikuti Jawa Timur (87 kes), Jawa Barat (77), Jawa Tengah (58) dan selebihnya wilayah-wilayah lain di Indonesia.

BRUNEI Darussalam kekal dengan 138 kes apabila tiada kes baharu dilaporkan hari ini.

Menurut siaran akhbar Kementerian Kesihatan, setakat ini 14 masih dirawat dan dua dalam keadaan kritikal yang memerlukan mesin bantuan pernafasan.

Dua kes sembuh menjadikan 123 kes yang pulih manakala 119 masih menjalani kuarantin. Setakat ini 2,445 telah menamatkan tempoh kuarantin.

Di FILIPINA sehingga pukul 4 petang ini, sebanyak 285 kes positif baharu dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes 7,579.

Jurucakap Jabatan Kesihatan memberitahu, sebanyak tujuh kematian dilaporkan menjadikan 501 kes sementara 70 kes sembuh menjadikan 862.kes.

Related posts

Leave a Comment