Prabowo ikrar basmi kemiskinan

JAKARTA: Prabowo Subianto, 72 yang disahkan memenangi Pilihan Raya Indonesia pada 14 Februari lalu berikrar untuk menjadi presiden kepada semua rakyat Indonesia serta membasmi kemiskinan dan ketidakadilan.

Berucap di hadapan penyokong di kediamannya selepas pengumuman rasmi semalam, Prabowo mengajak semua rakyat negara itu untuk melihat ke hadapan dalam perpaduan kerana cabaran masih besar.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi dan sukarelawan yang berkumpul di kediamannya.

Kemenangan Prabowo pada pilihan raya presiden yang berlangsung 14 Februari lalu itu menandakan kesinambungan dasar kerajaan apabila Presiden Joko Widodo atau Jokowi bakal berundur pada Oktober ini selepas sedekad berkuasa.

Kiraan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU), yang diumumkan semalam menunjukkan Prabowo dan Gibran Rakabuming Raka yang juga anak Jokowi menang dengan 96,214,691 undi iaitu 58.59 peratus daripada jumlah keseluruhan undi.

Pesaingnya yang juga bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan dan regunya, ahli politik veteran, Muhaimin Iskandar memperoleh 40,971,906 undi atau 24.95 peratus.

Bekas Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo, yang berpasangan dengan bekas ketua undang-undang dan menteri keselamatan, Mahfud MD menerima 27,040,878 undi atau 16.47 peratus.

Keputusan menunjukkan pasukan Prabowo-Gibran menang 36 daripada 38 wilayah dengan memperoleh antara 41 dan 75 peratus undi di setiap wilayah.

Mereka tewas kepada pasukan Anies-Muhaimin di Aceh dan Sumatera Barat menang 63.7 peratus undi luar negara yang diperoleh daripada 128 jawatankuasa pilihan raya asing.

Hasil keputusan itu, Prabowo, dan Gibran, 36, memenuhi syarat yang diperlukan untuk dipilih secara rasmi di bawah undang-undang Indonesia.

Ia menetapkan parti yang menang mesti memperoleh lebih 50 peratus undian keseluruhan dan sekurang-kurangnya 20 peratus undian di separuh wilayah. Mereka dijadual mengangkat sumpah pada 20 Oktober depan.

Pilihan raya presiden penting kerana ia menandakan perubahan kepemimpinan pertama dalam satu dekad membabitkan demokrasi ketiga terbesar di dunia.

Jokowi, 62, secara perlembagaan dilarang bertanding semula selepas dua penggal berkuasa.

Prabowo, yang kini memegang jawatan Menteri Pertahanan, sebelum ini tewas dua kali di tangan Jokowi pada 2014 dan 2019.

Pilihan raya itu sebahagian besarnya berjalan lancar, ketika calon membahaskan isu rakyat, pekerjaan dan inflasi untuk memenangi hati pengundi, dengan 52 peratus daripadanya berumur di bawah 40 tahun.

Bagaimanapun, kempen itu dicemari kontroversi yang menyelubungi pencalonan Gibran dan tuduhan bahawa Jokowi merancang membina dinasti politik.

Gibran 36 pada asalnya tidak memenuhi syarat umur minimum 40 tahun yang ditetapkan bagi calon presiden dan naib presiden.

Bagaimanapun , Mahkamah Perlembagaan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Anwar Usman, yang juga bapa saudara dan abang ipar Jokowi pada Oktober memutuskan bahawa calon boleh bertanding jika mereka sebelum ini dipilih sebagai pemimpin wilayah.

Gibran akhirnya layak kerana memegang jawatan Datuk Bandar Solo,

Ketua Hakim Negara kemudiannya disingkirkan panel etika kerana gagal menarik diri dan membuat perubahan pada saat akhir kepada keperluan pencalonan pilihan raya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment