Bersama tumpaskan ancaman

ANCAMAN yang sama, tumpaskan dengan pendekatan bersama. Itu mesej Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus

dalam ucapan alua-aluannya pada pelancaran pemecut Akses kepada Peralatan (ACT) Covid-19 menerusi tele-sidang yang disiarkan secara langsung malam tadi.

Tedros berkata, inisiatif itu dilancarkan bagi memastikan  setiap orang mempunyai akses kepada peralatan yang diperlukan untuk menumpaskan Covid-19. 

“Pemecut ACT akan membawa kepada penggabungan kuasa beberapa organisasi untuk bekerja dengan pantas dan berskala. Setiap daripada kita sedang melakukan tugas hebat tetapi kita tidak boleh bekerja secara bersendirian. Kita akan bekerjasama untuk bekerja dalam cara baharu untuk mengenal pasti cabaran dan penyelesaian secara bersama-sama. 

“Kita berdepan ancaman yang sama yang kita hanya dapat tumpaskannya dengan pendekatan bersama,” katanya. 

Menurut Tedros, sejak Januari tahun ini,  WHO telah bekerjasama dengan ribuan penyelidik daripada seluruh dunia untuk mempercepat pembangunan vaksin  Covid-19. 

“Dunia perlukan peralatan ini dan memerlukannya dengan segera. Pengalaman lepas telah mengajar kita bahawa walaupun peralatannya sudah ada tetapi ia tidak diagihkan secara sama rata kepada semua. Kita tidak boleh membiarkan ini berlaku,” katanya.

Beberapa pemimpin dunia turut berucap termasuk dari Perancis, Itali, Jerman, Sepanyol, Afrika Selatan dan juga Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin

Perdana Menteri menyertai pemimpin dunia dalam menggesa kolaborasi global untuk menyegerakan penghasilan vaksin untuk Covid-19 yang telah menjejaskan dunia dengan teruk.

Beliau yang menawarkan sokongan penuh Malaysia terhadap kerjasama global itu berkata dunia perlu saling bekerjasama untuk menyegerakan pembangunan dan pengeluaran peralatan dan vaksin serta memastikan akses sama rata di peringkat global terhadap teknologi kesihatan penting yang baharu bagi Covid-19.

“Malaysia komited sepenuhnya untuk menjadi sebahagian usaha yang terikat dengan masa ini dan turut serta dalam penghasilan dan pembuatan beberapa peralatan dan vaksin ini sebaik sahaja diperlukan. Dan saya menggesa pemimpin, penderma, sektor swasta dan komuniti saintifik di seluruh dunia untuk menyokong usaha penting ini bagi memenangi perang terhadap  Covid-19,” katanya.

Muhyiddin menegaskan Covid-19 “telah memberikan kesan terhadap kehidupan kita dan ekonomi global dalam cara yang belum pernah dialami dalam sejarah kehidupan”. 

“Satu-satunya cara kita boleh memusnahkan musuh bersama yang tidak kelihatan ini adalah menerusi solidariti dan kerjasama,” katanya.

Muhyiddin, yang juga pengerusi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik  (APEC), menegaskan tidak pernah berlaku sebelum ini bahawa gesaan jelas untuk memastikan tiada siapa yang tercicir adalah lebih penting berbanding sekarang.

Dunia perlu saling bekerjasama untuk menyelaraskan usaha kita dan menyegerakan pembangunan peralatan penting untuk menghentikan penularan penyakit ini.

“Peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kekal sebagai satu daripada modaliti terkuat kita untuk membendung pandemik ini dalam cara yang dapat memastikan bahawa senjata dalam perang ini yang kita berjuang boleh sampai kepada setiap orang, di mana sahaja dan dalam waktu sesingkat mungkin” katanya.

Related posts

Leave a Comment