1,147 kes baharu di Arab Saudi

ARAB Saudi terus mencatatkan peningkatan kes Covid-19 apabila 1,147 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara itu mencecah 11,631.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Mohammed al-Abd al-Ali juga memberitahu, lima kematian direkodkan menjadikan 109 kes manakala 9,882 kes aktif dan 1,640 pesakit sembuh.

Peningkatan itu dipengaruhi 76 peratus daripada kes baharu yang dilaporkan adalah hasil ujian pemeriksaan di lapangan yang setakat ini melibatkan lebih 500,000 orang di seluruh negara.

Hari ini, kes baharu sebanyak 1,147 itu adalah lebih dua kali ganda kes yang dilaporkan Khamis lepas sebanyak 518 kes, sehari sebelum kerajaan mengumumkan  pasukan kesihatan akan turun padang melakukan pemeriksaan.

Daripada 1,147 kes baharu itu, Makkah mendahului dengan 305 kes diikuti Madinah 299, Jeddah 171 dan Riyadh 148.

Sementara itu sempena bulan Ramadan ini, penduduk di kawasan yang tidak dikenakan perintah berkurung 24 jam diberi kelonggaran untuk keluar mulai pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Bagi mereka yang berada di kawasan perintah berkurung sepenuhnya hanya boleh keluar untuk membeli barang keperluan, dan urusan perubatan. Hanya dua orang dibenarkan berada di dalam sebuah kenderaan pada satu-satu masa.

Related posts

Leave a Comment