Situasi Thailand semakin baik

THAILAND melaporkan 19 kes baharu Covid-19 dan seorang meninggal dunia, menjadikan jumlah kes positif sebanyak 2,811 dengan 48 kematian.

Seorang pemandu teksi warganegara Thailand berusia 50 tahun adalah mangsa kematian terbaru yang dilaporkan, selepas sifar kematian dalam tempoh tiga hari berturut-turut. 

Setakat ini 2,108 pesakit telah pulih dan discaj dari hospital manakala 655 masih dirawat.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata Thailand akan meningkatkan pemeriksaan di pusat kemudahan pekerja asing susulan peningkatan kes di asrama pekerja asing di Singapura.

Terdapat kira-kira tiga juta pekerja asing di negara itu.

Sementara itu, Perdana Menteri, Jeneral Prayuth Chan o-cha berkata kerajaannya tidak akan terburu-buru menarik balik larangan dan sekatan Covid-19 yang berakhir 30 April ini kerana kesihatan dan keselamatan rakyat menjadi keutamaan negara.

Katanya, situasi kini semakin baik dengan jumlah kes harian baru yang rendah.

Bagaimanapun, kerajaan memantau situasi itu dengan teliti.

“Keputusan untuk menarik balik larangan dan sekatan tidak akan dibuat di bawah tekanan. Perkara paling penting adalah menilai situasi. Jika kita terburu-buru untuk menarik semula sekatan, wabak akan kembali,” katanya.

Sementara itu, BRUNEI Darussalam tidak melaporkan sebarang kes baharu hari ini menjadikan kes positif Covid-19 kekal 138 kes. Begitu juga kes sembuh kekal 116 apabila tidak ada kes baharu dilaporkan.

Setakat ini, sebanyak 21 kes aktif masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan di mana dua daripadanya masih kritikal dan memerlukan bantuan mesin pernafasan dan juga mesin tambahan heart/lung.

Kementerian Kesihatan Brunei memaklumkan seramai 139 orang sedang menjalani kuarantin manakala 2,408 orang telah tamat menjalani perintah itu.

Mengenai kes sembuh tetapi didapati positif semula,  hari ini seorang sembuh sementara jumlah keseluruhan kes seumpama ini kekal 18 di mana 12 orang masih menjalani pemeriksaan dan ujian lanjut.

Di FILIPINA, Jabatan Kesihatan melaporkan sehingga pukul 4 petang ini, sebanyak 140 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes 6,599.

Sembilan kes kematian dicatatkan  menjadikan jumlah kes 437 manakala 41 kes pulih menjadikan keseluruhan 654.

Related posts

Leave a Comment