Buang tabiat bawa ‘gula-gula’ masa kempen

SECARA rasmi, sebaik sahaja pengisytiharan calon-calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 22 Jun ini, maka bermulalah kempen 14 hari bagi ‘memancing undi’ rakyat.

Ketika ini pun, sejurus diketahui akan berlangsung PRK susulan kematian penyandang, berduyun-duyun pemimpin politik turun ke Nibong Tebal, kawasan Parlimen yang letaknya DUN Sungai Bakap.

Sama ada KEBETULAN atau sudah dirancang sebaik sahaja menerima berita kematian wakil rakyat kawasan itu, Nor Zamri Latiff (Pas-PN) pada 24 Mei lalu maka Sungai Bakap tidak sunyi dikunjungi orang politik, apatah lagi mewakili kerajaan.

Baru-baru ini, saya juga dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Permatang Pauh secara KEBETULAN, turut singgah sekejap untuk ‘melihat’ lebih dekat wajah Sungai Bakap yang sudah lama tidak dikunjungi sejak ada lebuh raya.

Saya melalui pekan Bukit Mertajam, kemudian Cherok To’Kun (melintasi rumah PMX dan gerai Pak Man Mee Kuah Ketam) dan Machang Bubok (singgah minum di kedai makan Cendol Sawit) sebelum tiba di Sungai Bakap. Saya tidak bawa ‘gula-gula’.

Seperti ditulis melalui Selak sebelum ini, menjelang PRK, inilah masa pelbagai janji dan peruntukan biasanya akan turun ke kawasan Sungai Bakap. Maka jangan ‘marah’ atau terasa apabila semua itu digelar ‘gula-gula’ atau ‘buah tangan’.

Memang adat berkunjung ke rumah orang, bawalah ‘buah tangan’ tetapi kunjungan luar biasa ketika ini umpama “Ada udang di sebalik batu” atau lebih tepat kerana PRK. Sekali lagi sama ada KEBETULAN atau tidak, biarlah rakyat hakimi.

Hari ini, kesedaran awam terhadap kempen pilihan raya yang adil, bersih dan sihat semakin meningkat. Mereka semakin bijak menilai sejauh mana kempen dilaksanakan parti bertanding, lebih-lebih lagi daripada pihak kerajaan sendiri.

Bagi rakyat pula “Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan”, orang memberi kami merasa. Sudah difahami, inilah masa rakyat dan pemimpin berpisah tiada.

Seperti berlaku menjelang PRK Kuala Kubu Bharu, perkara yang sama berulang menjelang PRK Sungai Bakap seolah-olah peruntukan itu hanya menanti kawasan yang akan diadakan PRK sama ada di peringkat Parlimen atau DUN.

Adakah pimpinan kerajaan ketika ini sudah mengatur ‘bantuan’ atau peruntukan’ sebagai persiapan andainya berlaku PRK di enam kawasan Parlimen dan dua DUN yang diwakili wakil rakyat Bersatu yang dihentikan keahlian mereka?

Rakyat sudah sebati bahawa kempen PRK adalah tempoh yang sesuai membuat pelbagai tuntutan. Dan apabila kerajaan turun dengan pelbagai janji, ia menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan parti pembangkang suatu masa dulu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sudah tentu menyedari situasi ini selepas ditegur oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih). Mesej Bersih adalah supaya
Kerajaan Madani tidak bertukar ‘kulit’ kepada apa yang mereka benci dahulu.

Bersih merujuk pengumuman peruntukan baharu yang diumumkan oleh Anwar dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Perdana Menteri melalui setiausaha politiknya, Shamsul Iskandar Mohd Akin telah menyampaikan sumbangan bernilai RM290,000 kepada sembilan masjid dan 20 surau yang berada di kawasan DUN Sungai Bakap pada 11 Jun.

Setiap masjid dan surau menerima sebanyak RM10,000 untuk digunakan sempena Hari Raya Korban pada 17 Jun. Ada juga yang sengaja bertanya bagaimana pula masjid dan surau di luar Sungai Bakap? Mereka juga mahu menyambut Aidiladha.

Pada hari yang sama, menurut Bersih, Kor Ming menyampaikan cek bernilai RM17, 751,284 untuk projek pembinaan balai bomba, penaiktarafan pasar Bukit Panchor dan sumbangan rumah ibadah bukan Islam. Kenapa menjelang PRK?

Mungkin peruntukan itu sudah lama diluluskan dan hanya menanti masa untuk diumumkan dan KEBETULAN pula, PRK akan diadakan. Maka ini masa sesuai.

Bersih melihat pengumuman sebegini sudah menjadi kelaziman kepada Kerajaan Madani apabila menjelang PRK, walhal isu penggunaan sumber kerajaan semasa tempoh pilihan raya acapkali dibantah oleh mereka semasa menjadi pembangkang.

Bagaimanapun susulan teguran Bersih, Anwar turut mengingatkan semua anggota Jemaah Menteri supaya ‘tidak melanggar peraturan dan undang-undang berkaitan pilihan raya’ sepanjang tempoh kempen PRK DUN Sungai Bakap.

Bagi Bersih, amalan tidak beretika ini masih berterusan daripada satu pilihan raya ke satu pilihan raya yang nyata bercanggah dengan prinsip perlawanan politik atas padang yang sama rata dalam pilihan raya.

Pelanggaran terhadap etika pilihan raya bersih dan adil oleh parti Kerajaan Madani sendiri dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini, akan menghakis keyakinan rakyat khususnya pengundi terhadap sistem pilihan raya dan proses demokrasi di negara ini.

Justeru Bersih mahu diwujudkan garis panduan yang menyeluruh terkait etika kerajaan bukan sementara dan kerajaan sementara semasa tempoh pilihan raya, bermula sebaik sahaja pembubaran Parlimen/DUN atau kekosongan kerusi, untuk dikanunkan sebagai undang-undang.

Langkah itu supaya tidak berlaku salah guna sumber kerajaan dalam sebarang pengumuman peruntukan dan dasar kerajaan yang diamanahkan rakyat.

Sama ada PH-BN berpolitik di atas padang sama rata bersama PN, sama-sama kita tunggu dan lihat episod kempen seterusnya Mungkinkah pemimpin PKR, DAP, Amanah, UMNO tidak lagi membawa ‘gula-gula’ sebaliknya menjadi ‘pendengar’ yang baik.

Nnn

Related posts

Leave a Comment