Situasi terburuk belum berlaku

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengingatkan bahawa ‘situasi terburuk’ wabak Covid-19 masih belum berlaku dan memberi amaran kepada semua negara lebih berwaspada memberi kelonggaran ketika pandemik itu terus menular.

Justeru Ketua Pengarahnya Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam taklimat medianya di Geneva mengajak masyarakat untuk terus memerangi wabak ini.

“Percayalah, keadaan terburuk bakal berlaku. Ayuh kita cegah tragedi ini. Virus ini masih belum difahami ramai orang,” katanya pada Isnin. Beliau dipercayai merujuk tindakan banyak negara yang mula melonggarkan langkah kawalan pergerakan.

Dipercayai, Tedros merujuk kepada kesan yang mungkin berlaku di Afrika di mana sistem kesihatan di sana yang dilihat masih lemah.

WHO sebelum ini memberi amaran bahawa sebilangan besar masyarakat terdedah kepada Covid-19.

Hasil awal tinjauan sero-epidemiologi dari seluruh dunia yang memantau tahap imuniti dalam populasi menunjukkan peratusan penduduk yang agak kecil mungkin telah dijangkiti.

Ketua Teknikal Covid-19 WHO, Dr Maria Van Kerkhove juga menggesa tahap waspada ditingkatkan kerana jangkitan koronavirus ini boleh merebak ke sebahagian besar penduduk.

“Virus itu dapat merebak lagi. Oleh itu, kita perlu memastikan bahawa langkah-langkah yang dilaksanakan dilakukan dengan berhati-hati,” jelasnya.

Beberapa negara di Asia dan Eropah secara beransur-ansur melonggarkan langkah-langkah kawalan seperti kuarantin, penutupan sekolah, perniagaan dan sekatan pada perhimpunan awam dengan alasan penurunan jumlah kes kematian Covid-19.

Dr Tedros sebelum ini mempertahankan WHO apabila Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump minggu lalu mengarahkan sekatan pembiayaan negara itu kepada agensi berkenaan.

Trump mendakwa WHO gagal menyampaikan maklumat tepat dan telus mengenai wabak itu setelah ia merebak di China akhir tahun lalu.

Bagaimanapun, Dr Tedros membantah dakwaan berkenaan.

“Tidak ada rahsia dalam WHO untuk menyembunyikan isu yang berbahaya. Ini adalah masalah kesihatan. Virus ini berbahaya. Ia mengeksploitasi keretakan di antara kita ketika kita mempunyai perbezaan pendapat,” katanya.

Dr Tedros menegaskan bahawa kakitangan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS yang ditugaskan untuk bekerja dengan agensinya menunjukkan tanda ketelusan WHO sendiri.

“Mempunyai kakitangan CDC (di WHO) bermaksud tidak ada yang tersembunyi dari AS sejak hari pertama wabak ini.

“Rakan sekerja CDC kami juga tahu bahawa kami memberikan maklumat dengan segera kepada sesiapa pun,” kata Dr Tedros.

Related posts

Leave a Comment