Dari Langgar ke Lenggong

MASIH ingat perutusan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pada 18 Mac lalu? Salah satu peringatannya berkaitan kenduri. Katanya: Di kampung-kampung saya tahu ini musim kenduri kahwin. Maklumlah cuti sekolah. Saya ingin mengingatkan saudara-saudari, termasuk dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini ialah perhimpunan ramai, antaranya kenduri kahwin. Jadi, kepada ibu-bapa pengantin saya minta tolong sangat-sangat batalkan kenduri. Akad nikah boleh dibuat, tetapi majlis kenduri jangan buat dulu. Tangguhkanlah,”

Tetapi akad nikah masih boleh dengan kaedah yang ditetapkan. Contohnya hari ini Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengadakan akad nikah melalui sidang video.

Dua hari selepas perutusan Perdana Menteri itu, tular video lelaki berusia 49 tahun yang merakam video ‘kenduri kepala kambing’ di Langgar sambil mempertikai PKP. Dia kemudian direman empat hari bagi membantu siasatan. Pada 25 Mac lalu, di mahkamah, dia mengaku salah. Bagaimanapun prosiding menjatuhkan hukuman ditangguh kepada 11 Mei ini. Kita tunggu untung nasibnya.

Hari ini tular pula satu majlis ‘jamuan makan masakan kampung’ di Lenggong. Kali ini bukan orang biasa-biasa, walaupun orang kampung tetapi berjawatan dalam kerajaan. Timbalan Menteri Kesihatan dan Exco Kerajaan Negeri Perak. Apa dah jadi dengan arahan PKP ini? Adakah mereka juga ingkar? Boleh dihukum?

Jangan biarkan rakyat pening dengan pelbagai kerenah pemimpin yang di atas yang lebih tahu undang-undang dan peraturan. Di mana kepemimpinan melalui teladan? Apa alasan yang akan mewajarkan tindakan VIP ini?

Sama ada disebut kenduri atau jamuan, maksudnya sama sahaja. Malahan sahabat FB saya ketika ditanya apa beza kenduri dan jamuan, beliau secara sinis berkata, kenduri istilah untuk rakyat jelata manakala jamuan untuk orang kayangan.

Mengikut Kamus Dewan, maksud jamuan dan kenduri lebih kurang sama sahaja. Jamuan bermaksud makanan yang dihidangkan (kepada tetamu); majlis yang disertai hidangan makan; tetamunya mengmabil sendiri makanan (dan bebas ke sana ke mari).

Sebagai timbalan menteri, beliau mungkin tidak terikat dengan jarak perjalanan tertentu kerana tugasannya. Mungkin bebas melepasi negeri. Melawat Maahad Tahfiz dan beri bantuan itu amat dialu-alukan tetapi menyertai jamuan makan seperti kenduri itu yang dipertikaikan. Tidak ada penjarakan sosial. Sudah letih menteri memberi nasihat tetapi ada pula dalam kalangan pemimpin menunjukkan teladan yang tidak baik. Lebih malang jika kementerian sendiri memberi nasihat tetapi orang kementerian sama pula yang ingkar arahan. Apa nak jadi?

Mungkin ini satu kesilapan atas nama menjaga hati rakyat tetapi ini bukan soal politik tetapi kesihatan. Isu ini bukan soal mencari kesalahan mana-mana pihak sama ada kerajaan atau pembangkang. Kita ada undang-undang berkaitan dengan pelanggaran PKP ini. Jangan kelirukan rakyat dengan tindak tanduk yang boleh diperlekehkan.

Khabarnya sudah ada laporan polis berkaitan isu ini. Rakyat menanti tindakan yang boleh dikenakan ke atas pemimpin itu malahan mereka yang hadir majlis itu beramai-ramai. Rakyat mahu melihat ketegasan dan keadilan tanpa kompromi.

Related posts

Leave a Comment