54 kes baharu, jangan alpa

PUTRAJAYA : Hari keempat fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus mencatatkan kesan positif apabila jumlah kes baharu Covid-19 terus dicatatkan pada kadar dua angka., iaitu 54 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah keseluruhan kes positif kini sebanyak 5,305, dan jumlah kes aktif adalah sebanyak 2,115.

Daripada jumlah kes aktif, 49 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 26 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media harian Covid-19, di sini hari ini.

Susulan penurunan jumlah kes positif, Kementerian Kesihatan khuatir masyarakat mulai alpa lalu mengambil mudah PKP.

Justeru, Dr Noor Hisham menasihati rakyat  untuk terus patuh kepada PKP memandangkan pendekatan itu penting dalam memutuskan rantaian penularan jangkitan.

“Walaupun perkembangan dalam penurunan kes ini sememangnya positif, namun masyarakat masih perlu berada di rumah, mengamalkan jarak sosial yang selamat sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain dan mengamalkan kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak dua lagi kematian dicatatkan menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 adalah 88 atau 1.66 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Kes kematian ke-87 (kes ke-2657) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 60 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan kencing manis. Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 30 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 12 April 2020 pukul 3.20 petang.

Kes kematian ke-88 (kes ke-5252) merupakan lelaki warganegara Myanmar berumur 36 tahun. Beliau dirawat di Hospital Selayang pada 17 April 2020 dan datang pada peringkat yang lewat dengan jangkitan paru- paru Severe Acute Respiratory Infection (SARI). Beliau disahkan meninggal dunia pada hari yang sama pada pukul 10.00 pagi.

Sementara itu, satu lagi kluster baharu, membabitkan petugas kesihatan di tiga hospital di Sabah iaitu Hospital Queen Elizabeth 2; Hospital Wanita dan Kanak-kanak, Likas; dan Hospital Keningau.

Katanya, sehingga 18 April, terdapat 31 kes dikenal pasti positif Covid-19 dalam kluster itu, termasuk dua kes baharu dilaporkan hari ini.

“Semua kes masih dalam rawatan setakat ini. Kluster ini terdiri daripada 23 petugas kesihatan dan lapan ahli keluarga atau orang awam.

“Kluster ini dikesan apabila keputusan ujian Covid-19 seorang kakitangan hospital yang melapor diri di Hospital Queen Elizabeth 2, adalah positif pada 2 April lepas,” katanya.

Related posts

Leave a Comment