Tiada konsep bazar Ramadan

SEBARANG konsep perniagaan berkaitan bazar atau gerai Ramadan termasuk dalam bentuk pandu lalu, tempah dan ambil serta e-hailing tidak dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, mesyuarat  khas menteri-menteri mengenai pelaksanaan PKP membuat keputusan itu selepas menimbang kesan yang akan berlaku jika ia dilaksanakan. 

“Tetapi perniagaan e-hailing biasa yang dilaksanakan sekarang, hantar ke rumah,  diteruskan seperti biasa,” katanya pada sidang media harian PKP di sini, hari ini.  

Sebelum ini terdapat cadangan perniagaan makanan berkonsepkan tiga kaedah iaitu pandu lalu, bungkus dan ambil serta e-hailing sebagai alternatif menggantikan bazar Ramadan yang tidak dibenarkan beroperasi di seluruh negara

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, setakat Rabu, jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP adalah sebanyak 11,017 individu.

“Sebanyak 56,052 pemeriksaan mengejut diadakan di seluruh negara dengan sebanyak 6,364 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa. Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menangkap 1,315 individu kerana ingkar PKP, dengan 1,226 individu direman dan 89 individu dijamin polis.

“Sebanyak 312 individu telah dituduh di mahkamah atas kesalahan mengingkari PKP,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Khamis.

Beliau memaklumkan PDRM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan 813 sekatan jalan raya di seluruh negara, dengan membabitkan pemeriksaan terhadap 558,548 kenderaan.

Ujarnya, peningkatan tersebut menunjukkan bahawa masih terdapat banyak kenderaan yang meneruskan perjalanan ketika pelaksanaan PKP.

Related posts

Leave a Comment